Bincang sebelum bentang Belanjawan, PH gesa Muhyiddin junjung titah

Bincang sebelum bentang Belanjawan, PH gesa Muhyiddin junjung titah

Amat penting isi kandungan Belanjawan 2021 dirundingkan segera supaya ia dapat mencapai objektif yang diingini Agong.

Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjunjung titah Agong, yang menasihatkan ahli politik berhenti berpolitik dan menyokong Belanjawan 2021, dengan merundingkan bajet persekutuan dengannya sebelum pembentangan di Parlimen 6 Nov.

Katanya dalam kenyataan, amat penting isi kandungan Belanjawan 2021 dirundingkan segera supaya ia dapat mencapai objektif yang diingini Agong.

“Majlis presiden yakin semua ahli Parlimen akan terlibat dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, serta menepati aspirasi seperti yang dititah Tuanku,” kata kenyataan itu.

Kenyataan ini membawa nama Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Majlis itu amat bersetuju dengan Agong bahawa “amatlah penting dan serius” Belanjawan 2021 dirundingkan dengan pembangkang, ketika jutaan rakyat berada pada atau bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui bajet itu.

“Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Belanjawan 2021 perlu fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi bentang antara rakyat dan wabak, dan perlu menetapkan halatuju yang mampu memastikan Malaysia akan terus maju sewaktu dan selepas pandemik.

“Termasuk dengan mengenalpasti strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi serta membantu jutaan rakyat yang terkesan sama ada akibat kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan pada 2020 ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.