Beku lesen baru perkhidmatan kurier ‘langkah mundur’, kata Fomca

Beku lesen baru perkhidmatan kurier ‘langkah mundur’, kata Fomca

Fomca berkata, moratorium menutup peluang sama rata bagi rakyat untuk meraih pendapatan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia terdahulu membuat keputusan membekukan pemberian lesen baru perkhidmatan kurier selama 2 tahun.
PETALING JAYA:
Kumpulan pengguna menyuarakan kebimbangan berhubung moratorium 2 tahun ke atas lesen baru perkhidmatan kurier dengan berkata, langkah “mundur” itu akan merugikan ekonomi negara yang kini sedia lemah.

Merujuk kepada peningkatan pembelian dalam talian dan permintaan kepada penghantar barang semasa menularnya pandemik Covid-19, Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Marimuthu Nadason berkata, moratorium itu menutup peluang sama rata bagi rakyat Malaysia untuk meraih pendapatan.

“Lebih banyak orang membeli secara dalam talian ketika ‘normal baru’ ini, jadi kita tidak boleh berikan monopoli itu hanya kepada syarikat besar.

“Kita perlu menggalakkan lebih banyak pemain industri kecil untuk masuk. Malah mungkin juga perlu ada syarikat kurier untuk logistik wilayah di Sabah atau Sarawak.

“Jangan mundur kebelakang. Sudah banyak pekerjaan hilang dan potongan pendapatan kerana Covid-19, jadi kita sepatutnya tidak wujudkan sekatan seperti itu,” katanya.

Pada Isnin, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat keputusan membekukan (moratorium) pemberian lesen baru perkhidmatan kurier selama 2 tahun bermula 14 Sept.

Katanya, ia akan memberi laluan kepada kerajaan dan industri pos dan kurier membuat perancangan baru bagi memperkukuhkan sektor tersebut yang berdepan pelbagai cabaran akibat perubahan teknologi dan trend pasaran.

Katanya, langkah itu juga sejajar dengan gesaan yang dibuat oleh Persatuan Syarikat Penghantar Ekspres Malaysia (Amec), iaitu gabungan 25 syarikat kurier utama di negara ini, termasuk Pos Malaysia Berhad, GD Express Sdn Bhd dan City-Link Express (M) Sdn Bhd.

Setakat Okt 2020, terdapat 109 pemegang lesen perkhidmatan kurier pelbagai kategori yang beroperasi di Malaysia.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader berkata, walaupun moratorium itu “baik” jika industri mahu memperkukuh dan memberi perkhidmatan lebih cekap, namun kepentingan pengguna juga perlu dipelihara.

“Bayaran pos meningkat. Sekarang ini mahal untuk pos apa-apa pun.

“Syarikat perlu memperkukuh perkhidmatan mereka dan memastikan ia boleh dipercayai dengan harga berpatutan, terutama pada masa ini ketika kita semua melihat faktor kos,” katanya.

SUBHEAD:
Ahli ekonomi peringat tentang anti-persaingan, persaingan berlebihan

Seorang ahli ekonomi bagaimanapun berkata, moratorium menunjukkan pemain industri sedia ada “berusaha melindungi syarikat mereka” dengan menghalang syarikat lain memasuki industri itu.

“Itu anti-persaingan. Kerajaan menjelaskan mengapa ia mahu mengehadkan jumlah pemain,” kata Nazari Ismail dari Jabatan Strategi Perniagaan dan Dasar Universiti Malaya.

Walaupun “terlalu banyak” persaingan mungkin negatif, Nazari berkata, agak sukar untuk menghalang syarikat baru memasuki pasaran kerana kemudahan memperoleh pinjaman bank.

Mengakui bahawa ia menyebabkan peningkatan jumlah pemain dalam sektor penerbangan, bas (pengangkutan) dan industri elektronik, yang sebahagian besarnya terpaksa tutup kedai sekarang, beliau berkata, senario sama sedang berlaku dalam industri kurier.

“Terlalu banyak pemain, semuanya berhutang dengan bank dan menderita. Ini masalah yang sukar untuk diselesaikan selagi ada bank yang bersedia meminjamkan wang untuk pemain baru masuk ke dalam industri dan berkembang.

“Saya percaya ia (moratorium) adalah penyelesaian jangka pendek. Pemain sedia ada juga akan saling membunuh antara satu sama lain dengan berkembang menggunakan wang yang dipinjam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.