
Dalam pertemuan dengan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur hari ini, Kementerian Luar menyatakan kegusaran Malaysia terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam.
“Malaysia juga komited untuk menegakkan kebebasan bersuara dan ekspresi sebagai hak asasi manusia.
“Selagi mana hak ini dilaksanakan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab agar tidak berlawanan dan melanggar hak mereka yang lain dan negara juga berpendapat ketegangan tersebut tidak akan membolehkan kehidupan bersama secara aman dengan semua agama,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Dalam pertemuan itu, Malaysia turut menzahirkan kepentingan untuk mengurangkan dan menghapuskan Islamofobia di semua peringkat.
“Dalam hal ini, Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan rasa saling menghormati antara agama dan mencegah ekstremisme agama,” katanya.
Pertemuan itu susulan kemarahan dunia Islam terhadap kenyataan terbuka Presiden Perancis Emmanuel Macron mengenai hak untuk menyiarkan karikatur Nabi Muhammad yang dianggap sebagai menghina Islam.
Kenyataan Macron minggu lalu dibuat sebagai respons kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris awal bulan ini, selepas beliau menunjukkan karikatur Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.
Guru itu menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pemilihan bahan pengajaran iaitu gambar sama yang mencetuskan serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015.