Tiada lagi hegemoni, PM diktator, kata Chin Tong

Tiada lagi hegemoni, PM diktator, kata Chin Tong

Bekas timbalan menteri pertahanan itu berkata sudah tiba masa ahli politik dan rakyat sedar tiada siapa yang harus berusaha untuk menguasai rakan gabungan atau pihak pembangkang.

Liew Chin Tong berkata kerajaan perlu bekerjasama dengan pihak pembangkang.
PETALING JAYA:
Pemerintahan hegemoni bawah Umno dan zaman perdana menteri diktator sudah berakhir, kata senator DAP Liew Chin Tong.

Bekas timbalan menteri pertahanan itu berkata, sudah tiba masa bagi ahli politik dan rakyat sedar tiada siapa yang harus berusaha untuk menguasai rakan gabungan atau pihak pembangkang.

Liew berkata demikian sebagai respons kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan kerajaan mengisytiharkan darurat berhubung krisis Covid-19.

Daripada keputusan Agong itu, katanya pemimpin politik harus memahami tiada parti buat masa ini boleh memerintah secara bersendirian tanpa kekuatan rakan gabungan.

“Peranan perdana menteri bukan untuk menguasai rakan gabungannya tetapi bersama gabungan yang dapat mengekalkannya sehingga habis penggal.

“Gencatan politik antara Umno dan Muhyiddin tidak akan kekal jika perdana menteri terus bertindak seolah-olah beliau memegang 2/3 kerusi majoriti dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Beliau berkata, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membuat kesilapan sama dengan menolak untuk memerintah bersama Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, yang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) “tidak berfungsi”.

“Kuasa tidak lagi harus tertumpu hanya di tangan perdana menteri.

“Semua parti politik dalam negara perlu mempelajari sistem operasi yang baharu: Bagaimana berkongsi kuasa dalam sebuah gabungan supaya parti sekutu yang tidak mencalonkan perdana menteri berasa selesa dan tidak perlu mencari susunan baru.”

Menurut Liew, kerajaan sedia ada mesti memerintah bersama pihak pembangkang melalui Parlimen kerana situasi politik di Malaysia akan kekal sebagai “demokrasi 50:50 untuk jangka masa yang tidak dapat diramal”.

Ahad lalu Istana Negara mengumumkan cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat ditolak Agong selepas beliau berunding dengan raja-raja Melayu berhubung perkara itu.

Istana berkata Agong merasakan kerajaan sekarang berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan, justeru tiada keperluan mengisytiharkan darurat di mana-mana bahagian dalam negara.

Agong juga mengingatkan ahli politik supaya berhenti berpolitik bagi mengelakkan kestabilan negara terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.