
Lim berkata, mesej utama dalam kenyataan Yang di-Pertuan Agong Ahad lalu ialah seluruh negara bersatu memerangi pandemik itu, tanpa mengira ideologi atau latar belakang politik.
Beliau berkata, nasihat Agong itu lebih penting untuk dibuktikan melalui tindakan kerana negara mencatat rekod tertinggi Covid-19 sebanyak 1,240 kes semalam.
“Malam semalam, persoalannya bertukar kepada adakah pemerintahan pintu belakang Muhyiddin Yassin akan tumbang sekiranya Majlis Kerja Tinggi Umno memutuskan untuk menarik keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Semua percakapan menggunakan bahasa perdamaian politik dan perpaduan nasional, tetapi tindakan yang dilihat menunjukkan tanda-tanda politik perpecahan dan polarisasi nasional.
“Kita telah membazirkan 2 hari dan tidak boleh membazir masa lagi daripada fokus dan menumpukan perhatian kepada pemikiran dan pendekatan melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ dalam perang melawan gelombang ke-3 Covid-19 di Malaysia.
“Kita hanya akan mensia-siakan usaha petugas barisan depan yang mempertaruhkan kesihatan dan nyawa mereka untuk memerangi Covid-19 jika kita terus berlengah.”
Ahad lalu, Istana Negara mengumumkan tiada keperluan mengisytiharkan darurat di mana-mana kawasan dalam negara sekarang, selepas Agong berbincang dengan raja-raja Melayu dan melihat situasi semasa dalam negara.
Katanya, Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang berjaya menangani Covid-19 dengan baik dan berkesan.
Agong turut mengingatkan ahli politik supaya berhenti berpolitik bagi mengelakkan kestabilan negara terjejas.