
Presidennya Dr Subramaniam Muniady berkata, maklumat mengenai penggunaan katil di hospital, pusat kuarantin dan unit rawatan rapi (ICU), terutama di zon merah tidak sepadan dengan angka dinyatakan pada sidang media harian kementerian itu.
Beliau meminta kementerian memperincikan pecahan statistik, kerana penggunaan katil lebih banyak di hospital, pusat kuarantin dan ICU di zon merah boleh diatasi oleh kekurangan penggunaan di pusat lain.
“Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun dilaporkan berkata 99.5% katil di Sabah sudah digunakan pada 22 Oktober. Ia bercanggah dengan angka diberikan kementerian kesihatan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Subramaniam berkata, tidak praktikal menggunakan katil ICU di hospital daerah lain kerana ia sukar untuk mengangkut pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan tanpa membahayakan pesakit dan orang lain.
Beliau mencadangkan kementerian menggunakan perolehan darurat untuk mewujudkan lebih banyak pusat kuarantin atau hotel di zon merah bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.
Katanya, kementerian juga perlu mempertimbang untuk menggerakkan lebih banyak peralatan perubatan ke Sabah.