Tempoh 8 minggu untuk penghakiman bertulis tidak munasabah, kata bekas hakim

Tempoh 8 minggu untuk penghakiman bertulis tidak munasabah, kata bekas hakim

Gopal Sri Ram berkata hakim yang mempunyai penghakiman tertangguh perlu diketepikan daripada mendengar kes.

Penghakiman kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dilaporkan tidak tersedia selama 30 bulan selepas keputusan lisan disampaikan.
PETALING JAYA:
Hakim Mahkamah Tinggi yang ditempatkan di pusat perniagaan dan komersial yang sibuk dan mempunyai banyak kes untuk ditangani, mesti diberi masa untuk menulis alasan penghakiman mereka, kata seorang bekas hakim.

Begitu juga dengan hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang perlu diberi masa yang munasabah untuk menulis keputusan mereka, kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram.

Katanya, tempoh 8 minggu untuk menyediakan keputusan bertulis bagi pihak yang memfailkan rayuan umumnya tidak dapat dilaksanakan.

“Sesetengah hakim di lokaliti yang sibuk terlalu banyak kerja kerana jumlah kes yang ditugaskan kepada mereka,” katanya.

Gopal Sri Ram.

Beliau berkata, hakim perlu membuat kajian apabila penghujahan peguam tidak mencukupi.

Sri Ram berkata demikian sebagai respons kepada kes yng menyaksikan hakim tidak dapat memenuhi tarikh tamat untuk memberikan penghakiman, sekali gus menyebabkan kelewatan dalam proses rayuan.

FMT pada Rabu melaporkan bahawa seorang hakim di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur tidak mengemukakan alasan penghakimannya berhubung 1 saman fitnah walaupun keputusan lisan disampaikan 30 bulan lepas.

Kesannya Mahkamah Rayuan tidak dapat menetapkan tarikh pendengaran rayuan.

Dua permohonan untuk rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan bidang kuasa pihak berkuasa agama dan Mahkamah Syariah di Selangor, juga ditangguhkan selama kira-kira 1 tahun kerana 2 panel hakim Mahkamah Rayuan mengambil masa lebih lama untuk menyudahkan alasan penghakiman mereka.

Dalam salah satu kes itu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat memerintahkan supaya tarikh perbicaraan ditetapkan kerana penghakiman bertulis tidak dikeluarkan.

Akhirnya, penghakiman itu siap tepat sebelum salah seorang daripada 3 hakim yang mendengar rayuan itu bersara.

Sri Ram berkata, hakim yang mempunyai penghakiman tertangguh, perlu dikecualikan daripada mendengar kes dan hakim pengganti perlu ditugaskan untuk menggantikannya.

R Kengadharan.

Peguam R Kengadharan berkata penghakiman perlu dibuat dengan cepat sebaik sahaja perbicaraan selesai.

“Penghakiman baru yang tepat dapat meyakinkan litigan agar tidak memfailkan rayuan, tetapi ia mungkin tidak berlaku sekiranya keputusan disampaikan beberapa bulan selepas perbicaraan,” katanya.

Beliau berkata, adalah hak perlembagaan setiap litigan untuk memperoleh penghakiman yang berasas jika seseorang mempunyai tanggungjawab kehakiman.

Muhammad Rafique Rashid Ali.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata hakim yang mendengar perbicaraan jenayah yang membawa hukuman mati mesti menyediakan alasan penghakiman secepat mungkin kerana kebebasan orang yang didapati bersalah menjadi taruhan.

“Tertuduh akan berada di penjara dan Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan hanya sekiranya keputusan bertulis itu siap,” katanya, sambil menambah bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan.

Rafique berkata, keputusan yang ditulis selepas perbicaraan lebih berkualiti kerana fakta kes itu masih segar di fikiran hakim.

“Dalam menyampaikan penghakiman seperti itu, hakim perbicaraan akan mempertimbangkan tingkah laku saksi sekali gus menilai kredibiliti mereka,” tambahnya.

Peguam itu juga mengakui sejumlah besar kes sivil dan jenayah didaftarkan di pelbagai mahkamah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.