
Beliau memberitahu FMT, sekiranya dikira berdasarkan angka, tidaklah mengejutkan untuk mendapati 2,145 murid sekolah disahkan positif virus itu sejak Februari.
Angka itu didedahkan dalam sidang media pada Khamis oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, yang berkata, sebanyak 1,257 kes dikesan antara 22 September dan 21 Oktober, semasa gelombang ke-3 pandemik.
Jumlah kes kumulatif yang dicatatkan di negara ini pada Khamis adalah sebanyak 23,804.

“Saya rasa terdapat kira-kira 12,000 atau 13,000 kes pada gelombang ke-3, dan 10% daripadanya adalah pelajar sekolah.
“Jadi mereka tidak mewakili angka keseluruhan. Angka tersebut mewakili spektrum normal populasi,” kata ahli Parlimen Gopeng itu.
Pelajar yang berdaftar dengan sekolah rendah dan menengah merangkumi 14.5% daripada populasi negara, iaitu 32.5 juta pada 2019, menurut Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perangkaan.
Lee berkata, terdapat kes penularan di institusi pengajian agama dan sekolah lain serta jangkitan dalam kalangan pelajar sekolah, namun, katanya, jumlah itu “bukan luar biasa”.
Terdahulu, Noor Hisham berkata, 12 sekolah yang mengalami kes jangkitan ditutup selama seminggu untuk tujuan pembasmian kuman dan pengesanan kontak rapat sejak gelombang ke-3 wabak Covid-19 melanda negara ini.
Sekolah di seluruh negara ditutup selama hampir 4 bulan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac, dengan kelas pembelajaran disambung semula secara berperingkat dari 24 Jun hingga 22 Julai.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy berkata keputusan membuka semula kelas adalah wajar selepas melihat kepada jumlah kes baru pada ketika itu.
“Kita tak boleh katakan mereka terlalu awal membuka sekolah,” katanya. “Pada waktu itu, jumlah kes harian sangat rendah. Kini ia mencapai purata 3 digit.”
Enam kes baru dilaporkan pada 24 Jun dan 16 kes pada 22 Julai. Jumlah kes baru dalam tempoh tersebut tidak pernah melebihi 21. Jumlah kes pada 22 Julai adalah 8,861.
Secara perbandingan, terdapat 710 kes baru pada Khamis lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini menjadi 24,514.
Sekolah diberitahu supaya mematuhi SOP setebal 34 halaman sebelum dibuka semula, tetapi Noor Hisham berkata, jangkitan di sekolah disebabkan kekurangan jarak fizikal dan perhimpunan besar.
Dalam pada itu, Lee menggesa menteri pendidikan supaya menjelaskan kepada masyarakat mengapa perhimpunan besar masih diadakan di sekolah.