Timbalan KM rayu Shell kaji semula rancangan keluar Sabah

Timbalan KM rayu Shell kaji semula rancangan keluar Sabah

Bung Moktar Radin berkata, akan ada impak kepada tenaga kerja dan menjejaskan ekonomi negeri.

Shell Malaysia sedang memindahkan kakitangannya ke ibu pejabat di Miri, Sarawak yang akan memberi tamparan besar buat Sabah dalam usaha menjadi hub industri minyak dan gas. (Gambar Shell)
KOTA KINABALU:
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin dan Joachim Gunsalam meminta Shell mempertimbangkan semula keputusannya mengecilkan operasi di negeri itu.

Bung, yang juga menteri kerja raya Sabah, berkata kerajaan negeri memandang “serius” keputusan Shell.

“Shell Malaysia patut berganding bahu dengan kerajaan Sabah dalam mengimbangi ekonomi negeri, bukan hanya mengaut keuntungan dari negeri ini, tetapi tidak meninggalkan kawan pada masa sukar,” katanya kepada FMT.

“Saya meminta Shell Malaysia mempertimbangkan semula keputusannya kerana akan ada impak kepada tenaga kerja dan seterusnya menjejaskan ekonomi negeri.”

Katanya, Shell mendapat banyak faedah daripada perniagaan huluan dan hiliran di negeri itu.

Gunsalam, yang juga menteri pembangunan perindustrian, berkata beliau tidak pasti sebab syarikat multinasional itu mengecilkan operasi huluannya dan memindahkan kakitangannya dari Sabah.

Beliau berkata, tidak baik untuk syarikat itu mengecilkan operasi atau meninggalkan Sabah.

“Saya harap mereka akan mempertimbangkan semula. Kami akan cuba bertemu dengan mereka jika ada keperluan kerana saya tidak tahu kisah penuhnya. Kami tidak tahu sebab utama mereka – Kami perlu tahu sebabnya,” katanya kepada FMT.

“Jika mereka betul-betul pindah keluar, ia tamparan besar buat industri Sabah, bukan setakat reputasi negeri.”

Terdahulu, FMT melaporkan Shell akan mengecilkan operasinya di Sabah dan memindahkan kakitangan huluan dari Plaza Shell di sini, ke Miri di Sarawak, ibu pejabat huluan syarikat itu.

Sumber berkata, dalam mesyuarat dalaman minggu lalu, kakitangan syarikat itu diberitahu Shell akan mengecilkan operasinya di Kota Kinabalu dan berpindah ke Miri, Sarawak.

Beliau mendakwa kakitangan dari pejabat huluan di Kuala Lumpur juga akan dipindahkan ke Miri.

Shell Malaysia kemudiannya mengesahkan tindakan itu sedang dilakukan, tetapi ia tidak memperincikan bilangan kakitangan terlibat atau sebab utama langkah itu diambil.

“Kami akan mengurangkan kehadiran pejabat di Kota Kinabalu, bagaimanapun Sabah kekal negeri penting Shell.

“Kami terus komited kepada operasi hiliran dan huluan laut dalam ketika kami menyumbang kepada pembangunan komuniti di Sabah,” kata syarikat itu.

Tindakan itu dilihat pihak berkepentingan perniagaan, minyak dan gas sebagai tamparan besar buat Sabah dalam usahanya menjadi hub industri itu.

Ketika ini, operasi huluan dan hiliran syarikat itu ditempatkan di Plaza Shell setinggi 14 tingkat, bangunan mercu tanda milik pemaju Kumpulan Hup Seng. Ia terletak di tengah-tengah kawasan perniagaan di bandar ini, dengan 200 kakitangan Shell ditempatkan di 4 tingkat bangunan itu.

Selain perniagaan hiliran, Shell mempunyai telaga minyak laut dalam di luar pesisir Sabah, iaitu Gumusut-Kakap dan Malikai, yang mengeluarkan 220,000 tong minyak sehari.

Operasi luar pesisir syarikat itu bermula 1958, apabila Shell menggali telaga pertamanya di Lembangan Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.