Bomba selamat kakitangan Perhilitan dipatuk ular kapak di Terengganu

Bomba selamat kakitangan Perhilitan dipatuk ular kapak di Terengganu

Kakitangan Perhilitan Muhammad Imran Khasimin Kamarul Zaman dipatuk ular kapak ketika menyertai kursus latihan di Hutan Simpan Sekayu semalam.

Lapan anggota penyelamat bomba mengambil masa lebih 4 jam berjalan untuk masuk ke lokasi kejadian di Hutan Simpan Sekayu, Terengganu kerana ketiadaan laluan kenderaan.
KUALA BERANG:
Sepasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang cedera selepas dipatuk ular kapak di Hutan Simpan Sekayu di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang Hanaffi Mohd berkata mangsa, Muhammad Imran Khasimin Kamarul Zaman, 24, dipatuk ular kapak di bahagian buku lali kaki kiri ketika menyertai kursus latihan di hutan simpan itu.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.50 petang sebelum 8 anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Kami mengambil masa lebih 4 jam berjalan untuk masuk ke lokasi kejadian dan membawa mangsa keluar.

“Anggota kita terpaksa berjalan kira-kira sejauh 6 kilometer dengan meredah sungai dan hutan untuk membawa keluar mangsa ekoran ketiadaan laluan kenderaan di hutan simpan berkenaan,” katanya hari ini.

Hanaffi berkata, mangsa yang berada dalam keadaan stabil dibawa keluar menggunakan pengusung dan operasi ditamatkan pukul 8.30 malam tadi.

Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.