Rayuan Jamal Yunos terhadap keputusan Mahkamah Tinggi didengar April tahun depan

Rayuan Jamal Yunos terhadap keputusan Mahkamah Tinggi didengar April tahun depan

Ketua Umno Sungai Besar itu memfailkan rayuan untuk membatalkan saman Jun lalu dengan alasan ia terlalu awal kerana siasatan SPRM masih lagi berjalan.

Jamal Yunos didakwa memfitnah bekas menteri Yeo Bee Yin dengan mengatakan beliau menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) untuk kegunaan peribadi.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 22 April tahun depan untuk mendengar rayuan Jamal Yunos terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan saman fitnah difailkan bekas menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim Yeo Bee Yin terhadap beliau.

Rayuan beliau tersenarai untuk pengurusan kes menerusi prosiding E-Review di depan timbalan pendaftar Nor Azah Idris hari ini dan dihadiri oleh peguam Jamal, Mohammed Nasser Yusof dan peguam Kenny Lee Jun How yang mewakili Yeo.

Peguam Yeo Sankara N Nair dan Mohammed Nasser ketika dihubungi mengesahkan tarikh pendengaran rayuan itu.

Pada 7 Ogos lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Jamal untuk membatalkan saman itu dan memerintahkan beliau membayar kos RM2,000.

Ketua Umno Sungai Besar itu memfailkan rayuan untuk membatalkan saman, Jun tahun ini dengan alasan ia terlalu awal kerana siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi berjalan.

Pada 14 Jun 2017, Yeo selaku plaintif, memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal berhubung kenyataan memfitnah berkaitan dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Dalam pernyataan tuntutannya, Yeo yang merupakan ahli Parlimen Bakri, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac 2017, dan kenyataan itu diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.

Yeo mendakwa kenyataan Jamal, antara lain, memberi tanggapan yang beliau menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am RM5 juta, Yeo juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.