
Walaupun angka pengangguran sering disebut oleh agensi kerajaan dan perniagaan serta kumpulan lain sebagai ukuran tahap kesihatan ekonomi negara, Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia memberi amaran bahawa takat impak Covid-19 ke atas pasaran buruh dikaburkan dengan menjadikan kadar pengangguran sebagai petunjuk tunggal.
“Takat guna tenaga tidak penuh semestinya besar, dan ia tidak dilaporkan atau kurang ditekankan,” katanya kepada FMT.
“Apabila seorang jurutera dibuang kerja dan mahu menjadi pemandu e-panggilan, dia tetap bekerja, tetapi tenaga kerjanya tidak digunakan secara penuh.

“Sama juga, apabila hari bekerja dipendekkan dan gaji dikurangkan, tenaga penuh pekerja tidak digunakan,” katanya.
Kadar pengangguran pada Ogos adalah 4.7%, ini bermakna 741,600 orang daripada 15.9 juta tenaga kerja menganggur.
Lee Hwok Aun dari Institut Pengajian Asia Tenggara Yusof Ishak (ISEAS) berkata, data mengenai guna tenaga tidak penuh perlu kerap dilaporkan, terutama melibatkan kesan pandemik Covid-19 ke atas pasaran buruh.
Menurut statistik tahunan Jabatan Perangkaan bagi tenaga buruh (LFS), yang merupakan data paling dipercayai mengenai guna tenaga tidak penuh, hanya 2.2% pekerja yang bekerja selama 30 jam atau kurang pada 2019.

Tiga puluh jam seminggu dianggap sebagai nilai ambang bagi pekerjaan separa. Daripada 338,000 orang yang bekerja 30 jam atau kurang, 70% berkata, mereka melakukannya kerana tidak cukup kerja atau sifat pekerjaan itu sendiri.
Walaupun sebahagian pekerja mungkin bekerja berjam-jam kerana mereka membuat 2 kerja kerana kurang pendapatan daripada pekerjaan utama, Lee berkata beliau tidak maklum akan anggaran mengenai takat masalah itu.
“Kita tidak tahu keadaan terkini tahap guna tenaga tidak penuh berdasarkan LFS,” katanya. “Statistik ini dilaporkan setiap tahun, bukan bulanan atau suku tahun.
“Malah jika pengangguran memulih daripada 5.3% pada Mei kepada 4.7% pada Julai/Ogos sekali pun, angka ini memberikan gambaran positif berhubung situasi pasaran buruh sekiranya ia tidak mencerminkan isu guna tenaga tidak penuh sekucupnya.
“Adalah sangat relevan dan bermanfaat bagi kita untuk mempunyai beberapa anggaran berhubung kesan Covid-19 dan PKP/PKPB ke atas guna tenaga tidak penuh.”
Lee juga berkata Malaysia perlu melihat lebih dekat dalam membezakan pekerja guna tenaga tidak penuh dengan yang bekerja penuh atau bekerja sesuai dengan kebolehan.
Pekerja sesuai adalah mereka yang pekerjaannya sesuai dengan kelayakan mereka.
“Saya rasa pada umumnya sukar bagi negara untuk menangani masalah guna tenaga tidak penuh ketika berlakunya krisis,” katanya.
“Pengangguran sering diutamakan dan atas sebab yang wajar.
“Menangani isu guna tenaga tidak penuh memerlukan usaha bersasar untuk mengkaji takat masalah yang dihadapi, dan salah satu alternatif bagi subsidi gaji sekarang adalah subsidi pekerjaan yang lebih bersasar untuk menampung gaji pekerja guna tenaga tidak penuh.”