Jabatan Perangkaan jangka Malaysia catat pemulihan ekonomi berterusan

Jabatan Perangkaan jangka Malaysia catat pemulihan ekonomi berterusan

Indeks Pelopor mencatatkan 108.5 mata pada Ogos 2020 daripada 100.8 mata pada Ogos 2019 dan mengekalkan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.6%.

Menurut Jabatan Perangkaan, ekonomi Malaysia dijangka terus berada dalam trend pemulihan pada bulan-bulan ke hadapan.
KUALA LUMPUR:
Jabatan Perangkaan menjangka ekonomi negara terus berada dalam trend pemulihan berdasarkan kepada kadar pertumbuhan Indeks Pelopor (IP) yang lancar.

Indeks Pelopor merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan dalam ekonomi.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, IP mencatatkan 108.5 mata pada Ogos 2020 daripada 100.8 mata pada Ogos 2019, mengekalkan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.6%.

Bagaimanapun katanya, IP merosot kepada negatif 0.5% yang disebabkan oleh bilangan syarikat baru didaftar mencatatkan (negatif 0.6%), import benar semi konduktor (negatif 0.4% dan pembinaan (negatif 0.1%).

Mohd Uzir Mahidin.

“Walaupun IP perlahan pada bulan rujukan, kadar pertumbuhan terlancar IP adalah konsisten di atas trend dan bergerak ke atas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Uzir berkata, ini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia dijangka terus berada dalam trend pemulihan pada bulan-bulan ke hadapan.

Bagaimanapun katanya, risiko terhadap pertumbuhan masih kekal berikutan lonjakan kes Covid-19 ketika ini.

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun lebih baik mencatatkan negatif 2.3% daripada negatif 2.4% pada Julai 2020.

“Berasaskan bulanan, IS meningkat 0.5% disokong oleh peningkatan dalam indeks kuantiti perdagangan runcit (0.5%) dan gaji & upah benar di sektor pembuatan (0.1%),” katanya.

Uzir berkata, keadaan semasa disokong oleh prestasi indeks volum perdagangan borong & runcit yang menggambarkan tanda pemulihan untuk mencatat 130.0 mata dengan pertumbuhan negatif 2.4% tahun ke tahun.

“Ini merupakan pertumbuhan negatif terkecil sejak Mac 2020. Selain itu, dari segi statistik tenaga buruh, jumlah penduduk bekerja meningkat 0.5% kepada 15.2 juta orang disumbang terutamanya dalam sektor perkhidmatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.