Sektor selain pengurusan, penyeliaan boleh bekerja seperti biasa, kata Ismail

Sektor selain pengurusan, penyeliaan boleh bekerja seperti biasa, kata Ismail

Kebenaran itu termasuk pekerja sektor lain yang dikategorikan sebagai 'informal'.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pekerja yang tidak terlibat bekerja dari rumah juga membabitkan perkhidmatan pengangkutan awam, bas ekspres, LRT, teksi, e-panggilan dan khidmat penghantaran makanan.
PETALING JAYA:
Pekerja selain sektor awam dan swasta peringkat pengurusan serta penyeliaan dari kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) boleh bekerja seperti biasa tanpa perlu bekerja dari rumah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu termasuk pekerja sektor lain yang dikategorikan sebagai “informal”.

“Ia termasuk sektor seperti peruncitan, makanan, perladangan, pertanian, penjaja, gerai makan, restoran, medan selera, kedai runcit, kedai serbaneka dan lain-lain dibenarkan bekerja seperti biasa mengikut SOP PKPB yang ditetapkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, pekerja yang tidak terlibat bekerja dari rumah juga membabitkan perkhidmatan pengangkutan awam, bas ekspres, LRT, teksi, e-panggilan dan khidmat penghantaran makanan.

“Majikan perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB ini. Pelaksanaan arahan ini adalah sama seperti yang pernah dikuatkuasakan ketika pelaksanaan PKPB di seluruh negara pada Mei,” katanya.

Katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeluarkan kenyataan bagi memperincikan pekerja yang terlibat dengan arahan bekerja dari rumah.

“Pihak MITI juga mengadakan perbincangan dengan persatuan industri ini dan meminta mereka memperjelaskan kepada ahli mengenai arahan ini dan SOP berkaitan.

“Perincian lanjut berkenaan arahan ini boleh dilayari di laman sesawang MITI,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan kira-kira sejuta pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan bawah sektor awam dan swasta (seliaan MITI) di kawasan PKPB diarah bekerja dari rumah bermula esok hingga kawalan bersyarat tamat susulan peningkatan kes Covid-19.

Ismail berkata, saringan wajib bagi pekerja asing yang bekerja dalam sektor binaan dan kawalan keselamatan.

“Turut diwajibkan menjalani ‘swab test’ mereka yang bergejala. Bagi pekerja dari zon merah yang perlu bekerja di pejabat, mereka juga amat disarankan untuk menjalani swab test,” katanya.

Sementara itu, Ismail menafikan berita yang tular di media sosial konon hampir 90% individu positif Covid-19 selepas mengunjungi pusat membeli-belah di Lembah Klang.

“Orang ramai diingatkan berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan diragui kesahihannya dan sentiasa menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita dari sumber rasmi atau boleh dipercayai. Perkara yang belum tentu sahih, jika kita turut sebarkan, sekiranya didapati tidak benar anda juga boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.