Operasi hospital medan di Bangladesh ditamat lebih awal selepas capai objektif

Operasi hospital medan di Bangladesh ditamat lebih awal selepas capai objektif

Seramai 108,038 pesakit ke HMM sejak Nov 2017 hingga Mac 2020, dengan lebih 3,500 pembedahan dilakukan, termasuk kira-kira 900 pembedahan berisiko tinggi.

Hospital Medan Malaysia yang ditubuhkan pada November 2017 mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan satu-satunya hospital medan menyediakan perkhidmatan tahap 3 di Cox’s Bazar ketika itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Operasi Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar, Bangladesh untuk membantu pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar ke negara itu, ditamatkan lebih awal selepas mencapai objektifnya.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini berkata, hospital itu sepatutnya beroperasi sehingga Disember 2021, tetapi ditamatkan tahun ini.

“Penubuhan HMM berjaya mencapai objektifnya dan penarikan keluar ini tidak memberi kesan kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh serta imej negara.

“Malaysia amat prihatin dengan krisis kemanusiaan Rohingya dan akan terus memainkan peranan mengetengahkan isu Rohingya di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk melalui platform dua hala dan pelbagai hala, khususnya dalam mencari penyelesaian jangka panjang berhubung isu ini.”

Kementerian itu berkata, petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia pulang ke tanah air supaya Hospital Angkatan Tentera (HAT) boleh beroperasi sepenuhnya bagi membantu negara menghadapi gelombang ke-3 Covid-19.

“Pada masa sama, mereka dapat diatur gerak dalam negara sebagai sebahagian usaha keseluruhan kerajaan untuk menangani penularan pandemik Covid-19 yang sedang menunjukkan trend peningkatan semula.

“Sepanjang tempoh pengoperasian HMM, petugas perubatan terdedah kepada risiko kesihatan dan keselamatan seperti penularan Covid-19 dan ancaman penyakit berjangkit lain seperti hepatitis, malaria dan batuk kering serta peningkatan kes jenayah di kalangan penduduk tempatan dan pelarian Rohingya.”

HMM ditubuhkan pada November 2017 bagi tujuan misi bantuan kemanusiaan untuk pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh ekoran konflik di Rakhine, Myanmar melalui pelan jangka pendek membantu meringankan beban dan menstabilkan keadaan kem pelarian itu.

Pengoperasian HMM dilaksanakan secara penggiliran dengan kekuatan 56 petugas bagi setiap pasukan yang terdiri daripada 20 pegawai ATM, termasuk 8 pakar perubatan, 30 anggota lain-lain pangkat Kor Kesihatan Diraja serta 6 jururawat awam.

HMM yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, menjadi tumpuan pelarian Rohingya mendapatkan rawatan, walaupun terletak di luar kawasan kem pelarian kerana ia satu-satunya hospital medan yang menyediakan perkhidmatan tahap 3 ketika itu.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah pembedahan am, ortopedik, obstetrik dan ginekologi, bius, x-ray dan rawatan utama lain seperti kesihatan keluarga, kecemasan, pergigian, radiologi serta makmal.

Kementerian Pertahanan berkata, seramai 108,038 pesakit ke HMM sejak Nov 2017 hingga Mac 2020, dengan lebih 3,500 pembedahan dilakukan, termasuk kira-kira 900 pembedahan berisiko tinggi.

“Jumlah kehadiran pesakit pernah mencapai 8,763 orang sebulan, tertinggi pada November 2018. Bagaimanapun, jumlah kehadiran pesakit bulanan menunjukkan trend penurunan, hanya 1,690 orang mendapatkan rawatan di HMM pada Feb 2020.

“Trend penurunan kes dan kehadiran pesakit kerana keadaan di kawasan kem pelarian yang semakin stabil dan tahap kesihatan pelarian Rohingya semakin baik berikutan penyakit kronik diberikan rawatan sewajarnya dan banyak prosedur pembedahan berjaya dilaksanakan.”

Katanya, terdapat tambahan 6 hospital medan di dalam kem pelarian kendalian kerajaan Turki dan NGO antarabangsa lain seperti Mèdecins Sans Frontiéres (MSF), HOPE Foundation, MSF Spain, Bangladesh Red Crescent Society dan Friendship.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.