Air kumbahan alternatif bagi industri perkilangan, kata Amirudin

Air kumbahan alternatif bagi industri perkilangan, kata Amirudin

Ia sebagai persediaan jangka panjang bagi memastikan bekalan air di kawasan perindustrian tidak terjejas apabila berlaku gangguan di loji rawatan air.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerjasama dengan IWK itu kali pertama dijalankan khas untuk kegunaan kilang dan air berkenaan diguna untuk proses penyelenggaraan kilang seperti menyejukkan enjin.
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor dalam perancangan menggunakan sisa air kumbahan untuk diproses bagi kegunaan industri perkilangan sebagai alternatif jika gangguan bekalan tidak berjadual berlaku di negeri itu.

Menteri besar Amirudin Shari berkata, 1 perjanjian dimeterai antara Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dengan syarikat pembetungan dan pengurusan sisa kumbahan, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) sebagai persediaan jangka panjang bagi memastikan bekalan air di kawasan perindustrian tidak terjejas apabila berlaku gangguan di loji rawatan air (LRA).

“Dalam pelan jangka panjang kita, termasuk terbaharu kita memeterai perjanjian dengan IWK supaya air sisa kumbahan ini juga diproses dan disalurkan kepada kawasan kilang, itu sedang dilakukan tapi ia memerlukan paip melibatkan kawasan yang panjang.

“IWK di pantai sebagai contoh mampu mengeluarkan lebih kurang 300 liter sehari (MLD), itu jumlah yang agak banyak,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan pengilang yang berdepan kehilangan pelabur jika gangguan bekalan air kerap berlaku di Selangor.

Amirudin berkata, kerjasama dengan IWK itu kali pertama dijalankan khas untuk kegunaan kilang dan air berkenaan diguna untuk proses penyelenggaraan kilang seperti menyejukkan enjin dan sebagainya bukan melibatkan minuman.

“Ini projek pertama Air Selangor dan IWK, kita buat perjanjian untuk proses air IWK khas untuk operasi kilang sahaja, sebagai contoh menyejukkan enjin, ia tidak untuk minuman,” katanya proses itu akan mengambil masa 2 hingga 3 tahun.

Terdahulu, Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) cawangan Selangor dan Kuala Lumpur memberi amaran gangguan air yang kerap akan menjejaskan keyakinan pengguna serta pelabur terhadap sistem pengurusan air negeri.

Menekankan 4 gangguan air tidak berjadual sejak 2 bulan lalu, persekutuan itu berkata, gangguan akan menambah beban rakyat dan syarikat yang berdepan cabaran Covid-19 serta memberi kesan buruk kepada ekonomi.

“Untuk melangkah ke depan, pembekal air perlu menggunakan teknologi lebih canggih bagi menguruskan rangkaian bekalan dan sumber air di muka sauk. Keseluruhan rantaian bekalan air perlu dinaik taraf dan dimodenkan untuk memastikan sebarang pencemaran pada masa depan atau gangguan berpotensi dapat diatasi.

“Tanpa sistem pengurusan air menyeluruh dan moden, negeri ini akan terus mengalami gangguan bekalan air,” kata Jacob Lee, pengerusi FMM cawangan Selangor dan Kuala Lumpur.

Sehingga kini, 8 kali masalah gangguan bekalan air tidak berjadual dilaporkan berlaku. Terbaharu, sebanyak 1,196,457 pemegang akaun Air Selangor di 1,292 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan selepas LRA Sungai Selangor dihenti tugas susulan pencemaran bau pada Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.