
PETALING JAYA: Subang Jaya secara rasmi diisytihar sebagai bandar raya setelah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata Majlis Perbandaran Subang Jaya diisytihar menjadi Majlis Bandaraya Subang Jaya berkuatkuasa hari ini.
Beliau turut mengumumkan presiden MPSJ Noraini Roslan telah dilantik sebagai datuk bandar Subang Jaya berkuatkuasa serta-merta.
“Semoga dengan pemasyhuran Majlis Bandaraya Subang Jaya ini, pembangunan mapan Subang Jaya dan lokaliti sekitarnya akan terus dimantapkan melalui sistem penyampaian perkhidmatan berkelas dunia.
“Dengan izin Allah SWT, cita-cita ini akan dapat digembleng bersama ke arah merealisasi agenda Selangor Maju Bersama,” kata Amirudin dalam satu kenyataan.