Persepsi negatif tambah derita pesakit Covid-19

Persepsi negatif tambah derita pesakit Covid-19

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, orang ramai sepatutnya memberi sokongan moral kepada pesakit Covid-19, bukannya meminggirkan mereka.

Hartini Azmi (kanan) bersama pesakit lain di Dewan Masyarakat Keningau yang dijadikan pusat rawatan sementara Covid-19 di Sabah.
KOTA KINABALU:
Tidak cukup dengan kebimbangan selepas disahkan positif Covid-19 yang mampu meragut nyawa, pesakit turut berdepan tekanan akibat orang ramai yang memandang serong kepada mereka.

Hartini Azmi, 37, yang disahkan positif Covid-19 berkata, beliau mengalami tekanan dan kemurungan bukan disebabkan virus itu, tetapi kerana dilabel pembawa virus.

“Saya faham kerisauan orang ramai, tetapi ada yang keterlaluan seakan-akan kami, pesakit Covid-19 ini seperti orang jahat atau ‘zombie’ yang harus ditembak mati.

“Cakap-cakap orang ini termasuk pesanan yang viral di media sosial menyebabkan saya dan pesakit lain kemurungan dan emosi kami sedikit terganggu.

Hartini Azmi dibenarkan pulang semalam selepas pulih daripada Covid-19.

“Kenapa mereka perlu membuat siasatan dan kronologi sendiri, seterusnya menyebarkannya di media sosial sehingga menampakkan saya serta keluarga seperti bukan sebahagian daripada masyarakat,” katanya kepada FMT.

Beliau disahkan positif virus itu selepas menjalani ujian saringan pada 11 Okt lalu dan dihantar ke Dewan Masyarakat Keningau yang dijadikan pusat rawatan sementara Covid-19.

Beliau disahkan sembuh dan dibenarkan pulang semalam.

“Sepanjang berada di wad, saya turut sedih kerana melihat pesakit di situ turut kemurungan dan emosi mereka terganggu akibat persepsi negatif orang ramai.

“Saya memberi kaunseling dan kata-kata semangat kepada mereka apabila ada pesakit baru masuk. Saya menasihatkan mereka kuatkan semangat dan jangan dengar kata-kata negatif orang lain. Malah, kadang-kadang saya menasihatkan mereka mematikan telefon bimbit supaya mereka lebih tenang.”

Shahelmey Yahya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, orang ramai sepatutnya memberi sokongan moral kepada pesakit Covid-19, bukannya meminggirkan mereka.

“Menerusi bual bicara dengan mereka (pesakit Covid-19) yang telah melaluinya, ada yang dikatakan menghadapi trauma dan sedikit tekanan emosi akibat jangkitan itu.

“Sehubungan itu, ahli keluarga dan masyarakat disarankan bersikap positif dan memberi sokongan moral kepada mereka. Sebaiknya mendoakan kesihatan mereka untuk terus bertambah baik dan tidak sekali-kali meminggirkan mereka.”

Beliau turut menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati dan mematuhi SOP sepanjang perintah kawalan pergerakan bersyarat dilaksanakan di Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.