
Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira berkata, satu dasar migrasi buruh komprehensif diperlukan untuk juruaudit global dan pengawal selia antarabangsa berpuas hati dengan Malaysia.
“Kita perlu ingat kaedah buruh paksa berakar dalam pengurusan sumber manusia yang lemah, rasuah dan pengambilan pekerja yang sangat mengelirukan selama 30 tahun lalu.”
Jabatan Buruh AS (DOL) mendakwa 42,500 pekerja migran dalam industri sarung tangan getah menghadapi pelbagai penindasan buruh. Malaysia ialah pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia.
Kementerian Sumber Manusia bagaimanapun berkata, ia tidak akan bertoleransi dan berkompromi dengan sebarang penggunaan buruh paksa, serta ia melakukan pemeriksaan bersepadu dan berkanun secara berkala serta mengejut ke atas syarikat utama pembuatan produk berasaskan getah untuk memastikan mereka mematuhi undang-undang.
Tetapi, Pereira berkata, menteri tidak boleh mendakwa pemeriksaan ad hoc dan biasa serta mesyuarat cukup untuk menyelesaikan buruh paksa di Malaysia.
Katanya, suruhanjaya siasatan diraja akan mendedahkan penyalahgunaan yang wujud dalam pengurusan pekerja migran.
Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020 menyembunyikan kebenaran daripada orang ramai dengan tidak mengeluarkan laporan awatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing.
Jawatankuasa itu, yang diluluskan Kabinet” ditubuhkan pada Ogos 2018 dan diketuai bekas hakim Mahkamah Rayuan, Hishamuddin Yunus. Ia ditugaskan untuk memberi cadangan mengenai cara menyelaras dasar pekerja asing.
Laporan itu, yang merangkumi 40 syor, dibentangkan kepada Kabinet tahun lalu, tetapi tiada satu pun cadangan dilaksanakan sehingga Jun tahun ini, menurut bekas menteri sumber manusia, M Kulasegaran.
Ahli Pasukan Petugas Majlis Anti-pemerdagangan Manusia Selangor, Abdul Aziz Ismail memberitahu FMT, isu yang digariskan dalam laporan DOL itu “bukan perkara baru”.
Beliau yang menggesa audit dijalankan ke atas industri itu, memberi contoh seorang pekerja asing dari sebuah syarikat pengeluar sarung tangan getah terkemuka di dalam negara “hilang” selepas membuat aduan kepadanya mengenai gaji tidak dibayar.
Pekerja itu kemudiannya didapati “dikurung” syarikat terbabit.
“Kerajaan dalam mod penafian. Kerajaan dan agensi penguatkuasaan tahu sepenuhnya masalah ini. Mereka yang dikurung (seperti ini) adalah mangsa pemerdagangan manusia.”
Aziz menekankan kepentingan mematuhi amalan buruh adil untuk mengelakkan sekatan ekonomi kerana industri sarung tangan getah, kelapa sawit dan elektronik ialah penyumbang utama ekonomi negara.
“Orang ramai akan menderita jika berlaku sekatan ekonomi. Jika tiada 3 industri itu, apa akan berlaku kepada negara?”
John Quinley III, pakar hak asasi manusia di Fortify Rights, sebuah kumpulan bebas memfokuskan Asia Tenggara, menyambut baik kecaman terbuka Kementerian Sumber Manusia terhadap buruh paksa selepas “banyak penindasan dilaporkan” berlaku dalam rantaian bekalan sektor kelapa sawit dan kilang sarung tangan getah.
Industri elektronik dan pakaian Malaysia disenaraikan dalam kategori buruh paksa, manakala industri minyak sawit berada dalam kategori buruh kanak-kanak laporan AS itu.
“Syarikat perlu melakukan usaha wajar dan memastikan tiada pelanggaran hak asasi manusia dalam rantaian bekalan mereka,” katanya kepada FMT.
“Kilang juga, sekurang-kurangnya, perlu memberikan pampasan atas kerosakan yang berlaku dan menamatkan keadaan menindas dengan segera.”
Pakar hak pekerja asing bebas, Andy Hall berharap dapat melihat usaha wajar lebih baik dalam sektor sarung tangan getah.
Beliau yang mendakwa bayaran pengambilan tinggi akibat rasuah dan pemerasan sistematik di Malaysia dan negara asal pekerja asing, berkata mustahil pihak berkepentingan dalam industri tidak tahu amalan demikian.
“Pegawai ini sepatutnya tahu dengan sedikit usaha wajar, penindasan ini berlaku dan mereka sangat cuai kerana gagal mengesan, mengelak dan membetulkannya,” katanya dalam satu kenyataan.
“Industri sarung tangan getah di Malaysia belum benar-benar komited untuk memastikan akauntabiliti sedemikian yang sangat diperlukan atas kegagalannya, selain salah laku dalam pengurusan dan kakitangannya sendiri.”