
Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican yang memaklumkan berita sedih itu menerusi akaun Twitternya, mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham yang pernah beraksi di posisi tengah serta kedua-dua sayap kanan dan kiri bersama skuad kebangsaan dan Selangor.
Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), yang sempat melawat arwah yang menderita akibat kencing manis dan darah tinggi bagi tempoh yang agak lama tengah hari semalam, turut mengucapkan takziah menerusi Twitter.
Allahyarham yang pernah mewakili negara dalam beberapa perlawanan penting dan menjadi jurulatih beberapa pasukan negeri, dilaporkan meninggal dunia pada pukul 6.15 petang.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengucapkan takziah atas pemergian Mohd Shah yang pernah membentuk jentera serangan negara bersama Mokhtar Dahari serta pemain adik-beradik Isa dan Ali Bakar pada saingan Pestabola Merdeka dan Sukan SEAP 1975.
“Lincah menggelecek di garisan tepi sebagaimana abangnya Zulkifli, Mohd Shah terkenal dengan larian deras serta tipu helah menggunakan tumitnya atau ‘back-heel’ bagi mengelirukan lawan selain dianugerahkan dengan kepandaian menghidu peluang, bermula dengan jaringan tunggal yang membantu Selangor menjuarai Piala Burnley pada 1970.
“Mohd Shah turut diberi penghormatan menyarung jersi negara ketika kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal bertandang ke tanah air pada Mei 1975. Pasukan negara menang 2-0 pada perlawanan 11 Mei di Stadium Merdeka dan seri 1-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada perlawanan 17 Mei,” menurut perkongsian FAM di laman Facebook rasminya.
Mohd Shah juga pernah membantu Selangor muncul juara Piala Malaysia sebanyak 5 kali dalam 6 penampilan di final, termasuk menjaringkan gol pada final 1971 dan 1972.
Allahyarham kemudian menabur bakti sebagai jurulatih di peringkat remaja untuk membantu skuad Piala Presiden Selangor muncul juara sebanyak 2 musim tanpa kalah pada 1994 dan 1995, selain berkhidmat lama selaku penolong jurulatih skuad senior Selangor bawah khidmat jurulatih M Chandran, Bernd Schumm, Ken Worden, Ken Shellito, K Rajagobal dan Steve Wicks.
Sebagai jurulatih, beliau mengendalikan Melaka, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Putrajaya, Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan wanita kebangsaan ke Sukan SEA Korat 2007.