Maszlee kemuka usul Dewan Rakyat beri laluan usul undi tak percaya

Maszlee kemuka usul Dewan Rakyat beri laluan usul undi tak percaya

Beliau berkata usul itu penting bagi memastikan keabsahan sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sekali gus menentukan kestabilan politik negara.

Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat supaya menangguhkan sementara urusan kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik berkata beliau sudah mengemukakan 1 usul supaya Dewan Rakyat akan datang menangguhkan terlebih dahulu urusan kerajaan buat sementara untuk memberi laluan kepada usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri didengar dan diputuskan.

Beliau berkata usul itu penting bagi memastikan keabsahan sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sekali gus menentukan kestabilan politik negara.

“Saya sebagai ahli Parlimen telah menghantar 1 usul bawah Peraturan 90(2) untuk menggantung sementara kuat kuasa Peraturan 15(1) dan beberapa peraturan mesyuarat lain yang berkaitan agar PM tak lagi boleh berselindung di sebalik teknikal undang-undang,” menurutnya dalam kenyataan media menerusi akaun Twitter rasmi beliau hari ini.

Maszlee berkata, usul menggantung sementara kuat kuasa Peraturan 15(1) di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa urusan kerajaan perlu didahulukan berbanding urusan lain itu telah dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun pada 16 Oktober lepas.

“Bererti melalui usul ini, saya telah meminta Dewan Rakyat membuat keputusan agar urusan kerajaan ditangguhkan sementara dan usul undi tidak percaya yang dibawa Yang Berhormat Langkawi (Dr Mahathir Mohamad) terhadap perdana menteri dibaca dan diputuskan terlebih dahulu,” katanya.

Usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pertama kali dikemukakan oleh Mahathir pada persidangan Dewan Rakyat Mei lalu selepas diterima bekas Yang di-Pertua Mohamad Ariff Mohd Yusof dan dibawa pada persidangan Julai.

Usul itu bagaimanapun tidak sempat dibahaskan.

Pada 14 Oktober lepas, ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggesa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri diberi keutamaan untuk dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual bermula 2 November depan.

Pengerusi jemaah penasihat Umno itu berpandangan usul tersebut penting dalam menentukan bahawa perdana menteri mendapat kepercayaan Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Rentetan gesaan itu, pada 16 Oktober lepas, seramai 16 ahli Parlimen mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Sidang Parlimen dijadual berlangsung dari 2 November hingga 15 Disember. Persidangan kali ini akan turut menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021, yang dijadualkan pada 6 November.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.