
PETALING JAYa: Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa universiti lain mencontohi Universiti Malaya (UM) mengurangkan yuran kepada pelajar yang terpaksa menjalani pembelajaran atas talian.
Beliau memuji pengurangan yuran perkhidmatan universiti sebanyak RM120 setiap semester bagi 3 semester oleh UM yang disifatkannya penuh empati, bijak dan dapat membantu mengurangkan beban pelajar serta keluarga mereka.
“Ini berita baik. Jumlah bantuan mencecah RM2.7 juta bagi setiap semester ini akan dinikmati lebih 22,000 pelajar UM.
“Perkhidmatan fasiliti universiti yang tidak boleh digunakan oleh pelajar eloklah dibuang cas dan yuran untuk pelajar bayar,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, mahasiswa turut terjejas akibat penularan Covid-19, termasuk keputusan berubah-ubah Kementerian Pengajian Tinggi, Bantuan Prihatin Nasional 2.0 yang tidak diberikan kepada golongan itu, isu sewa rumah dan internet tidak elok di rumah yang menyukarkan pembelajaran atas talian.
Beliau pasti banyak keluarga yang lega dengan pengurangan yuran yang dilaksanakan UM itu.