Felda yakin 2022 boleh kembali untung dengan model perniagaan baru

Felda yakin 2022 boleh kembali untung dengan model perniagaan baru

Idris Jusoh berkata, model perniagaan tepat untuk Felda ialah mempunyai rantaian bekalan lengkap dari ladang, kilang hingga ke peringkat hiliran.

FGV disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 pada harga RM4.45 sesaham, menjadikannya IPO terbesar di dunia selepas Facebook, mengumpul kira-kira RM10.5 bilion.
KUALA LUMPUR:
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang dibelenggu kerugian besar berbilion ringgit dan pembubaran beberapa anak syarikatnya, yakin dapat kembali mencatatkan keuntungan pada 2022 berlandaskan pelaksanaan model perniagaan baru.

Pengerusinya, Idris Jusoh berkata susulan pembentangan kertas putih mengenai Felda di Parlimen pada 10 April 2019, pasukan petugas diketuai Abdul Wahid Omar dibentuk untuk mencari jalan memperkemaskan lagi kertas putih itu bagi menangani pelbagai isu dihadapi Felda.

“Kita mengenal pasti usaha untuk maju ke depan dengan memahami di mana kedudukan Felda pada masa ini dan masa lepas, malah menetapkan model perniagaan baru dalam usaha menjadikan agensi ini lebih mampan, menguntungkan dan berdikari.

“Pasukan petugas juga mengesyorkan penstrukturan semula kewangan, bagaimana sistem pengurusan dapat ditingkatkan yang meliputi pendigitalan sistem kewangan, mengubah pemikiran peneroka, mendorong mereka meraih pendapatan tinggi dan pengurangan kos,” katanya kepada Bernama.

Mengenai model perniagaan baru, beliau berkata, Felda yakin model perniagaan tepat untuk agensi itu melangkah maju ialah mempunyai rantaian bekalan lengkap dari ladang, kilang hingga ke peringkat hiliran.

“Sebelum FGV Holdings Bhd disenaraikan di Bursa Malaysia, kita sudah memiliki kilang sendiri, dengan Felda pada masa itu mencatatkan keuntungan lebih RM1 bilion dan pada 2011 mencatat keuntungan RM1.85 bilion.

“Bagaimanapun, selepas penyenaraian FGV Holdings Bhd pada Jun 2012, keuntungan Felda jelas menyusut kerana pulangan daripada pelaburan FGV tidak sepadan apa yang diharapkan daripada mereka.”

FGV disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 pada harga RM4.45 sesaham, menjadikannya tawaran awam permulaan (IPO) ke-2 terbesar di dunia selepas Facebook, mengumpul kira-kira RM10.5 bilion.

Menurut kertas putih berkenaan, Felda merekodkan keuntungan bersih RM200 juta hingga RM1.1 bilion setiap tahun dari 2007 hingga 2011 berbanding kerugian bersih RM4.9 bilion yang dicatatkan syarikat utama perladangan bermasalah itu pada 2017.

Mengikut Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) antara Felda dengan FGV, ia seharusnya menerima bayaran RM248 juta setahun dan perkongsian keuntungan 15% untuk pajakan tanah komersialnya selama 99 tahun.

Idris berkata, bagi mencapai matlamat mengembalikan keuntungan Felda, agensi itu mahu mengambil semula tanah milik Felda seluas 350,000 hektar yang dipajakkan kepada FGV menerusi LLA.

Katanya, hasrat itu sudah dibincangkan dengan kerajaan dan masih menunggu jawapan.

“Ketika LLA dibuat, ada syarat yang menyatakan Felda boleh ambil semula tanah itu pada bila-bila masa dengan memberi mereka (FGV) tempoh 18 bulan selepas pemberian notis pengambilan semula tanah.

“Kita nak ambil balik tanah itu untuk perkasakan semula Felda. Pendapatan daripada keuntungan ladang Felda sebelum penyenaraian mencecah lebih RM1 bilion, tiada masalah untuk meraih angka bilion…ia boleh dibuat bagaimanapun pendapatan merosot sejak 2012 selepas penyenaraian FGV.”

Mengenai pampasan yang harus dibayar kepada FGV berikutan penamatan LLA, beliau berkata, ia belum dibincangkan secara terperinci, namun yang jelas keutamaan Felda ketika ini adalah mengambil semula tanah yang dipajakkan itu dan mewujudkan rantaian bekalan lengkap.

Katanya, kekurangan pendapatan selepas penyenaraian FGV turut memaksa Felda membuat pinjaman dengan institusi kewangan pada 2014.

Beliau berkata, hutang Felda ketika ini berjumlah RM10 bilion, untuk memberi wang pendahuluan kepada peneroka dan program penanaman semula.

Sebagai alternatif kepada penstrukturan semula hutang, katanya, Felda berhasrat menerbitkan sukuk dan ini akan dibincangkan dengan kerajaan sebagai penjamin, selain itu nilai yang akan diterbitkan bakal dimaklumkan.

Idris berkata, model perniagaan baru Felda turut menyentuh tempoh pinjaman tanaman semula peneroka yang akan dikurangkan daripada 8 tahun kepada 4 tahun/

Katanya, langkah ini dilaksanakan bagi mengurangkan tanggungan hutang peneroka serta menjadikan mereka lebih mampan dan berdaya saing.

“Kita mengenal pasti benih baru yang boleh dituai dalam 35 bulan dan mampu mengeluarkan hasil 25 tan sehektar serta meningkatkan kadar pengekstrakan minyak (atau kadar perahan minyak) sebanyak 23%.

“Ini akan memendekkan tempoh pinjaman tanam semula serta bantuan sara hidup kepada peneroka.”

Beliau berkata, Felda juga bercadang menggalakkan peneroka menceburi penanaman kontan di ladang bagi mempelbagaikan hasil keluaran yang secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan mereka.

Selain itu, katanya, Felda sedang berusaha membubarkan aset bukan teras di dalam dan luar negara, khasnya hotel, yang ditangguhkan kerana harga semasa rendah dan akan meneruskan tindakan itu selepas memastikan harga sesuai.

Mengenai 37% saham Felda dalam PT Eagle High Plantations TPK (Eagle High) bernilai RM2.3 bilion, beliau berkata, Felda berhasrat menggunakan opsyen jual mengikut harga dipersetujui pada Mei 2022 untuk mendapatkan kembali pelaburannya.

Felda juga akan mempertingkatkan keupayaan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dengan menjadikan Walmart Inc dan Fonterra Co-operative Group Ltd sebagai penanda aras.

Walmart merupakan syarikat pengendali rangkaian pasar raya, kedai serbaneka diskaun dan kedai runcit berpangkalan di Amerika Syarikat, manakala Fonterra ialah koperasi multinasional yang dimiliki kira-kira 10,500 peladang tenusu di New Zealand.

“KPF sebelum ini mampu membayar dividen serta memberi pendapatan tinggi kepada ahlinya serta pernah membayar dividen melebihi 15% pada 2011.

“Kita mahu kembalikan keupayaan seperti ini untuk terus meningkatkan taraf sosio ekonomi setiap ahlinya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.