
Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham terkejut dengan kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun tiada kuasa mempercepatkan perbahasan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin kerana ia adalah usul bukan kerajaan yang tidak dibawakan seorang menteri.
Katanya, usul itu tidak boleh dianggap usul persendirian yang lebih rendah tarafnya daripada urusan kerajaan, sebaliknya ia adalah usul yang akan menentukan sama ada kerajaan sedia ada boleh dibenarkan terus mentadbir negara.
Oleh itu, beliau menggesa Azhar bertindak mengikut undang-undang dan tidak berat sebelah membuat tafsiran peribadi untuk melindungi kerajaan yang melantiknya sebagai speaker Dewan Rakyat.
“Yang di-Pertuan Dewan Rakyat tidak harus berlindung di belakang perintah tetap Dewan Rakyat yang bukan pun satu undang-undang, tetapi peraturan berkenaan mesyuarat dalaman Dewan Rakyat.
“Perintah tetap Dewan Rakyat tidak boleh mengatur atau mengawal perkara yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi tanah air kita.”
“Azhar telah menyebabkan Parlimen tunduk kepada eksekutif, padahal dalam sistem demokrasi di bawah Perlembagaan Persekutuan kita, pihak eksekutif hendaklah bertanggungjawab kepada Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Azhar dilapor mencadangkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan bagi membolehkan usul persendirian diberi keutamaan dan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Azhar berkata, tugasnya sebagai speaker Dewan Rakyat terikat kepada Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sedia ada.
Razaleigh dalam suratnya bertarikh 25 Sept lalu kepada Azhar mempersoalkan kenapa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dibawakan Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad pada Mei dan Julai lalu, tidak dibahas dan diundi.
Semalam, Azhar dipetik Berita Harian sebagai berkata, usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin akan menerima layanan sama seperti usul bukan kerajaan lain yang perlu mengikut aturan ditetapkan kerana beliau tiada kuasa mengubah aturan mesyuarat dan ia bertentangan undang-undang.
Katanya, usul itu tidak boleh dipercepatkan untuk dibahas dan diundi ahli Parlimen, jika ia tidak dibawa seorang menteri.
Oleh itu, beliau menyarankan ahli Parlimen meyakinkan seorang menteri menerima usul itu dan memindahkannya kepada aturan urusan kerajaan, jika mahu perbahasannya dipercepatkan.
Katanya, amalan sama turut diguna pakai di Australia.
Setakat kelmarin, 16 ahli Parlimen dilapor mengemukakan semula usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin atas alasan presiden PPBM itu tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.