Hanya satu destinasi pelancongan di Perak ditutup kerana Covid-19

Hanya satu destinasi pelancongan di Perak ditutup kerana Covid-19

Exco negeri Ashilin Mohammed Radzi berkata, setakat ini tiada lokasi pelancong lain ditutup walaupun kes baru Covid-19 semakin meningkat.

Taman Tema Sunway Lost World of Tambun selama 14 hari bermula Selasa selepas beberapa pengunjung disyaki positif Covid-19.
BATU GAJAH:
Hanya 1 produk pelancongan di Perak ditutup sementara susulan terdapat pengunjung disyaki positif Covid-19, kata pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Beliau berkata, setakat ini tiada lokasi tumpuan pelancong lain yang ditutup walaupun kes baru pandemik itu semakin meningkat.

Katanya, penutupan Taman Tema Sunway Lost World of Tambun selama 14 hari bermula Selasa lepas adalah pendekatan yang diambil pihak pengurusan dan pentadbiran taman tema berkenaan.

“Tindakan itu bukan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tetapi pihak pengurusan dan pentadbiran mereka yang memilih untuk menutup taman tema itu bagi tujuan sanitasi dan keselamatan pekerja serta menjamin keadaan selamat,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Geotourism Vouchers #TravelPeraklah dan Dark Tourism di Kellie’s Castle di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri melalui Tourism Perak dengan kerjasama persatuan pelancongan negeri sekali lagi melancarkan inisiatif pemulihan sektor pelancongan dengan memperkenalkan Geotourism Vouchers #TravelPeraklah dan Dark Tourism@Kellie’s Castle.

Menurutnya, Geotourism Vouchers #TravelPeraklah adalah kesinambungan daripada sambutan ulang tahun Geopark Lembah Kinta kali ke-2 yang secara tidak langsung membantu agensi pelancongan yang terkesan susulan penularan Cdovi-19.

Sementara, Kellie’s Castle pula meneruskan program “Dark Tourism” dengan penganjuran “Kellie’s Night Tour V.3” pada Jumaat dan Sabtu bermula pukul 8 hingga 12 tengah malam sepanjang Oktober ini.

Beliau berharap pelancaran inisiatif baru itu dapat menggalakkan kedatangan pelancong domestik ke Perak dengan tempoh menginap lebih lama, sekali gus membantu ekonomi agensi pelancongan dalam norma baru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.