Bekas menteri, Abdul Aziz Shamsuddin meninggal dunia

Bekas menteri, Abdul Aziz Shamsuddin meninggal dunia

Majlis Perundingan Melayu berkata, jenazah akan dikebumikan di Gopeng, Perak hari ini.

Bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Abdul Aziz Shamsuddin meninggal dunia kira-kira pukul 11.52 malam tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Abdul Aziz Shamsuddin, 82, meninggal dunia kira-kira pukul 11.52 malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan di laman Facebook rasmi Majlis Perundingan Melayu (MPM).

“Solat jenazah akan diadakan di Bukit Damansara selepas solat subuh hari Sabtu, 17 Okt 2020 (hari ini). Namun demikian, kami mohon maaf SOP PKPB hanya mengizinkan 20 orang sahaja untuk melaksanakan solat jenazah.

“Jenazah akan dikebumikan di Gopeng, Perak,” menurut MPM dalam hantaran itu.

Menerusi hantaran itu juga, MPM memohon agar orang ramai dapat mendoakan allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan solihin.

Abdul Aziz mula berkecimpung dalam arena politik setelah menyertai Umno di cawangan Pelabuhan Kelang pada tahun 1969.

Beliau merupakan bekas ahli Parlimen Shah Alam dari 2004 hingga 2008.

Sebelum itu pada 1975, beliau dilantik sebagai pegawai khas kepada menteri pelajaran ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Abdul Aziz menyambung perkhidmatan sebagai setiausaha sulit Mahathir dari tahun 1981 hingga 1999 yang merupakan perdana menteri ke-4 ketika itu.

Beliau juga merupakan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.