
Penjelasannya menyusul tindakan wakil rakyat pembangkang mempersoalkan di mana setiausaha agung PKR itu berada, yang menyebabkan kekecohan berlaku di DUN pagi tadi.
Saifuddin memberitahu FMT hari ini, beliau sudah memaklumkan ketua menteri sebelum mengambil cuti untuk menjalani pemeriksaan perubatan segera.
“Saya berada di sana pada hari pertama (Isnin) pembentangan belanjawan negeri 2021. Saya beritahu ketua menteri yang saya akan ke KL pada petang itu.
“Saya ada temu janji dengan Hospital Pantai untuk pemeriksaan kesihatan dan pada masa sama ujian Covid-19. Saya disahkan negatif, alhamdulillah.
“Saya berterima kasih kepada Afif dan Zulkifli kerana membangkitkan isu ini yang saya terima dengan hati terbuka,” kata ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu.
Terdahulu, Adun PPBM, Dr Afif Bahardin dan Zulkifli Ibrahim mempersoalkan ketidakhadiran Saifuddin dan jika DUN sudah dimaklumkan.
Selepas speaker berkata beliau tidak tahu pergerakan Saifuddin, 2 wakil rakyat itu mengkritik pemimpin PKR itu “menghina” DUN kerana tidak hadir.
Speaker, Law Choo Kiang kemudiannya berkata, Adun tidak wajib berada dalam DUN sepanjang masa, tetapi mereka perlu memberi notis kepada kerani DUN, khasnya jika mereka tidak hadir untuk tempoh lama.