Penganalisis lihat Agong sebagai penawar kepada ketidakstabilan politik

Penganalisis lihat Agong sebagai penawar kepada ketidakstabilan politik

Chandra Muzaffar berkata, Agong boleh isytihar darurat tetapi Hisommudin Bakar berkata, gencatan senjata politik merupakan alternatif lebih baik.

Chandra Muzaffar (kiri) dan Hisomudin Bakar berbeza pandangan tentang langkah yang perlu diambil oleh Agong bagi menghalang pergelutan kuasa di Dewan Rakyat.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik melihat peranan besar yang dimainkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam merungkai ketidaktentuan politik di negara ini, walaupun dari sudut yang berbeza.

Pakar sains politik Chandra Muzaffar berkata, Agong harus mengisytiharkan darurat bagi menamatkan permainan politik yang “sengit, tidak produktif dan destruktif”, yang menurutnya menghalang usaha memerangi wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Bagaimanapun pengarah eksekutif Pusat Ilham Hisomudin Bakar berkata, gencatan senjata politik yang diperintahkan oleh Agong merupakan alternatif lebih baik.

Mereka memberi komentar terhadap cadangan Presiden MIC, SA Vigneswaran supaya Parlimen digantung bagi membolehkan kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

Vigneswaran pada Rabu berkata, ini adalah pilihan yang lebih baik daripada pilihan raya kilat ketika wabak sedang menular sekali gus membantu kerajaan memulihkan semula ekonomi dan mewujudkan kestabilan politik.

Chandra berkata, negara perlu memberikan fokus kepada Covid-19 dan ekonomi dan cara terbaik untuk memastikan ia berlaku ialah dengan Agong mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150 perlembagaan persekutuan.

“Sepanyol pernah melakukannya susulan krisis kesihatan dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata perisytiharan darurat akan menyebabkan Parlimen tergantung.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya tempoh darurat dihadkan hingga 6 bulan dan berkata, pengisytiharan itu perlu datang bersama-sama komitmen khusus dan jelas untuk kembali ke pemerintahan demokratik.

Dalam tempoh itu tambahnya, semua ahli Parlimen perlu digerakkan dalam pelbagai jawatankuasa untuk bekerja bersama-sama dengan kerajaan dalam mengatasi masalah kesihatan dan ekonomi.

Katanya, parti tertentu mengeksploitasi majoriti tipis Perikatan Nasional (PN) yang kini berkuasa untuk agenda mereka sendiri, termasuk “melepaskan diri daripada jangkauan undang-undang”.

“Semuanya kerana mereka ada angka. Mereka bekerjasama dengan individu yang obses dengan kuasa,” tambahnya.

Hisommudin memberitahu FMT, beliau yakin pilihan raya kilat maupun penggantungan Parlimen tidak sesuai buat masa ini kerana peningkatan kes Covid-19 dan juga kerana belanjawan negara akan dibentangkan tidak lama lagi.

“Ahli Parlimen kita perlu memberi input mereka berhubung belanjawan.”

Jelasnya, beliau tidak melihat majoriti tipis kerajaan sebagai masalah asalkan ia mendapat sokongan yang cukup bagi meluluskan rang undang-undang yang sah.

Malah katanya, kerajaan telah lulus ujian itu sebelum ini.

Hisommudin berkata, memerangi wabak Covid-19 memerlukan usaha 2 pihak dan satu-satunya cara untuk mengatasi isu pergelutan kuasa yang berlaku kini ialah dengan Agong memerintahkan gencatan senjata politik.

Katanya, beliau yakin ahli politik dari kedua-dua belah pihak akan akur dengan perintah diraja.

Tambah beliau, gencatan senjata politik akan memberi ruang kepada kerajaan untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.