
Pakar pemakanan Dr Hazreen Abdul Majid dari Universiti Malaya berkata, ini kerana mereka yang tinggal di kawasan bandar akan terlepas menu penting dan seimbang yang biasanya disediakan di tadika, yang kini terpaksa ditutup.
“Biasanya, banyak kanak-kanak akan bersarapan di sekolah dan itu memberi mereka tenaga dan nutrisi.
“Sekiranya mereka berada di rumah, sebilangan ibu bapa mungkin tak dapat membeli makanan kalau mereka tak dapat bekerja atau kerana faktor kewangan lain.”
Hazreen berkata, antara 15% dan 20% kanak-kanak di bawah umur 5 tahun kekurangan zat makanan di Malaysia.
Katanya, masalah itu berlaku di bandar-bandar yang menyaksikan kos sara hidup lebih tinggi dan menyebabkan keluarga mengalami krisis kewangan lebih besar.

“Kita mungkin fikir di negara kita, peratusannya menurun. Tetapi dalam 5 tahun kebelakangan ini, trend itu sebenarnya meningkat,” katanya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebelum pandemik Covid-19 melanda lagi, kira-kira 47 juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun “secara agak terabai atau terus terabai”, dengan kebanyakan mereka tinggal di Afrika sub-Sahara dan Asia Tenggara.
Kini, dengan perintah sekatan dan gangguan pada rantaian bekalan makanan, PBB mengingatkan bahawa pandemik Covid-19 akan menyaksikan hampir 7 juta lagi kanak-kanak mengalami kebantutan akibat kekurangan zat makanan.
Hazreen berkata, masalah di Malaysia boleh dikesan kepada gaya hidup bandar, kurangnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan tekanan kewangan.
“Terdapat pelbagai faktor di sebalik masalah keselamatan makanan dalam masyarakat bandar, terutama pendapatan isi rumah dan akses kepada makanan berkualiti.
“Kadang-kadang bagi ibu bapa yang bekerja, selagi anda letakkan makanan di atas meja, tanpa mengira nutrisinya, ia sudah memadai.
“Pada waktu-waktu lain, ketika ibu bapa mengalami tekanan, mereka juga mungkin berbelanja untuk benda-benda lain, seperti merokok, jadi hanya sedikit wang yang diperuntukkan untuk makanan berkualiti.”
Katanya, terdapat juga kes di mana kanak-kanak yang lebih tua atau ibu bapa yang berusia diberi keutamaan berhubung makanan lebih berkhasiat.
“Selalunya dari segi kewangan, makanan berkhasiat akan menjadi perkara terakhir yang mereka fikirkan. Ini juga gaya hidup orang di bandar. Apabila semua benda sangat mahal dan anda perlu bekerja lebih masa, selagi anda dapat makanan, ia tak jadi masalah.”
Beliau juga berkata sebahagian kanak-kanak yang memerlukan bantuan bakul makanan akan terlepas pandang sekiranya mereka tidak mendapatkan pemeriksaan kesihatan di klinik awam.
Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan (PPKZM), yang juga dikenali sebagai Program Bakul Makanan, merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan sejak 1989.
Kanak-kanak yang memenuhi kriteria tertentu, seperti kekurangan berat badan, diberikan bakul makanan yang terdiri daripada barang-barang seperti beras, tepung gandum, ikan bilis, minyak masak, kacang hijau kering, biskut dan susu penuh krim, selain makanan tambahan multivitamin setiap bulan sehingga mereka pulih untuk tempoh maksimum 6 bulan.
Hazreen berkata program itu adalah bagi menjamin pertumbuhan dan perkembangan yang betul dalam kalangan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah yang kurang berat badan.
Katanya, ia penting bagi mereka untuk memastikan perkembangan otak dan tulang yang betul.
Namun katanya, juga biasa bagi mereka yang mendapat bakul makanan untuk menjualnya kerana mahu mendapatkan wang kerana kemiskinan.
Beliau mengaitkannya dengan kurangnya kesedaran dalam kalangan kumpulan B40.
“Ibu bapa sendiri tidak amalkan tabiat pemakanan yang sihat.”
Dalam kajian pada 2018, Hazreen mendapati banyak penduduk yang tinggal di flat PPR cenderung mengamalkan tabiat pemakanan yang tidak sihat, dan akan mengambil makanan segera sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Beliau turut mendapati 86.7% responden dalam komuniti berpendapatan rendah itu mengambil buah dan sayur kurang 5 kali sehari, dan 11.7% mengambil minuman berkarbonat dan manis lebih 2 kali sehari.
“Sekiranya ibu bapa sendiri tak makan makanan berkhasiat, apatah lagi anak mereka?” katanya.
Beliau mengesyorkan agar kerajaan bekerjasama dengan pakar pemakanan dan NGO bagi merangka pelan tindakan mengagihkan semula makanan segar yang tidak dimakan di restoran, kilang dan kedai runcit mewah kepada isi rumah berpendapatan rendah.
“Katakan, misalnya, hasil segar seperti sayur-sayuran tidak sesuai dijual di pasar raya mewah, kita boleh bungkus semula dan berikannya kepada flat PPR.
“Sekiranya anda uruskan perkara ini dengan betul, maka kita dapat kurangkan pembaziran makanan. Pada masa sama, kita perlu menyelesaikan isu kekurangan zat makanan dalam kalangan anak-anak B40.”