
Mahathir dalam usul bertarikh 15 Okt yang ditujukan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata, ia dibuat di bawah peraturan mesyuarat 26(1) dibaca bersama peraturan mesyuarat 27(3) dalam peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.
“Bahawa dewan ini memberi kebenaran kepada ahli Yang Berhormat bagi kawasan Langkawi untuk mencadangkan suatu usul iaitu menurut peraturan mesyuarat 26(1) dibaca bersama dengan peraturan mesyuarat 27(3).
“Dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat,” katanya.
FMT turut difahamkan, beberapa ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik; dan Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir turut membawa usul sama.
Sebelum ini pada Mei, Mahathir membawa usul sama terhadap Muhyiddin, namun usul persendirian itu tidak dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat lepas.
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengirim surat kepada Azhar menggesa usul tidak percaya dibahaskan di Dewan Rakyat, penting bagi menentukan sama ada Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti atau tidak.