Virus Covid-19 dipercayai dari Filipina, Indonesia dikesan di Semenanjung, kata Noor Hisham

Virus Covid-19 dipercayai dari Filipina, Indonesia dikesan di Semenanjung, kata Noor Hisham

KKM mengesan 23 kluster baharu yang mempunyai virus seperti itu dan sudah menjangkiti 604 individu yang pulang dari Sabah serta dikesan positif.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata virus Covid-19 sentiasa bermutasi dan virus D614G merupakan mutasi terkini yang membolehkannya mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan mutasi terkini virus Covid-19 dikenalpasti sebagai D614G yang kemungkinan besar berasal dari Filipina dan Indonesia, namun kini sudah menular di Semenanjung.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengesan 23 kluster baharu yang mempunyai virus seperti itu dan sudah menjangkiti 604 individu yang pulang dari Sabah serta dikesan positif.

“Virus ini berbeza dari segi ciri-ciri tetapi apa yang kita dapati virus D614G dari Sabah ada kemungkinan datang dari Filipina atau Indonesia, yang pasti sekarang ini sebab ada 23 kluster baharu.

“Ia melibatkan 604 individu yang pulang dari Sabah juga didapati positif Covid-19, kemungkinan besar juga adalah membawa jangkitan mutasi ini, iaitu D614G,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, virus Covid-19 sentiasa bermutasi dan virus D614G merupakan mutasi terkini, yang membolehkannya mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Namun perkataan ‘super spreader’ bukan ditujukan kepada virus tetapi kepada individu dijangkiti. Virus ini boleh menjangkiti individu sekiranya tidak mengamalkan penjarakan fizikal atau dalam keadaan kurang 1m atau tidak menjaga etika bersin sehingga boleh menjangkiti orang awam,” katanya.

Katanya, insititut penyelidikan perubatan sudah menjalankan ujian terhadap 20 virus Covid-19 yang diasingkan daripada kluster Benteng Lahad Datu di Sabah.

“Didapati mutasi D614G dikesan. Jadi, kalau kita berjaya mengesan 23 sampel daripada kumpulan virus tersebut, didapati jenis D614G ini berbeza dengan virus yang bermutasi dari kluster Sivagangga, Tawau dan Sungai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.