
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa yakin perkara itu akan menjadi topik perbincangan dalam mesyuarat majlis kerja tertinggi Umno yang akan diadakan bila-bila masa.
“Kalau ada mesyuarat majlis kerja tertinggi Umno sudah tentu perkara itu akan dibincangkan, dan saya perhatikan pun memang perkara (keputusan mesyuarat biro politik Umno) itu sedang dibincangkan.
“Tetapi kebanyakannya dalam kumpulan WhatsApp dan sebagainya kerana mesyuarat (setakat ini belum diadakan),” katanya pada sidang media pengumuman Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada majlis kerja tertinggi Umno akan membincangkan ketetapan dibuat biro politik parti itu Selasa lalu.
Selasa lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata parti itu mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong PN.
Ahamd berkata, parti itu akan memberi syarat baharu kepada PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.
Bagaimanapun, pendirian biro politik Umno itu belum muktamad kerana perkara tersebut masih perlu mendapat persetujuan majlis kerja tertinggi parti.
Sementara itu, mengulas pendirian BN berhubung perkara berkenaan Annuar berkata setakat ini tiada perbincangan mengenainya dibuat.
“Peringkat BN belum adakan apa-apa mesyuarat dan tiada jangkaan waktu untuk BN adakan mesyuarat,” katanya.
Ketika diminta mengulas syarat baharu bakal dikenakan kepada PN, Annuar berkata beliau tidak boleh mengulas mengenainya.
“Mesyuarat biro politik telah putuskan dan hanya setiausaha agung Umno saja boleh membuat ulasan berhubung perkara sebegitu,” katanya.