Gantung Parlimen hanya dalam keadaan darurat, kata bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat

Gantung Parlimen hanya dalam keadaan darurat, kata bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat

Mohamad Ariff Md Yusoff berkata Parlimen hanya boleh digantung apabila berlaku darurat seperti rusuhan dan pergolakan "seperti dialami negara pada Mei 1969".

Mohamed Ariff Md Yusoff berkata langkah itu hanya perlu diambil apabila berlaku darurat.
PETALING JAYA:
Bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusoff tidak bersetuju dengan cadangan menggantung Parlimen dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan memastikan kestabilan politik.

Beliau berkata, tindakan itu hanya perlu diambil dalam keadaan darurat seperti berlaku rusuhan.

Ariff, yang dilucutkan jawatan pada 13 Julai lalu berkata, walaupun negara berdepan penularan Covid-19, Parlimen masih boleh berfungsi dengan baik mengikut SOP disediakan.

“Mengapa fungsi Parlimen sebagai badan perwakilan bawah Perlembagaan Persekutuan harus digantung atas alasan kesesuaian politik?

“Kestabilan mesti dilihat dalam konteks. Menggantung Parlimen tidak boleh digunakan sebagai pendekatan untuk melindungi kerajaan sekarang daripada pemeriksaan oleh wakil rakyat yang dipilih,” katanya kepada FMT.

Presiden MIC dan bekas Yang di-Pertua Dewan Negara SA Vigneswaran semalam mencadangkan supaya Parlimen digantung bagi membolehkan kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

Beliau turut berkata, Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Yang di-Pertuan Agong boleh menggantung atau membubarkan Parlimen”.

Namun, Ariff berkata Parlimen hanya boleh digantung apabila berlaku darurat seperti rusuhan dan pergolakan, “seperti dialami negara pada Mei 1969”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.