PKR arah ahli jangan berhimpun ketika Anwar hadap Agong esok

PKR arah ahli jangan berhimpun ketika Anwar hadap Agong esok

PKR turut meminta rakyat bertenang jika majlis itu membawa kepada perkembangan politik lain.

Anwar Ibrahim dijangka mempersembahkan keterangan lengkap jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya kepada Agong di Istana Negara esok.
PETALING JAYA:
PKR mengarahkan ahlinya tidak mengadakan perhimpunan, khasnya di jalan utama menuju Istana Negara ketika Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail turut meminta rakyat bertenang jika majlis itu membawa kepada perkembangan politik lain.

“PKR mengingatkan semua ahli Parlimen agar terus berkhidmat di kawasan masing-masing dan mengutamakan isu kebajikan serta nasib rakyat di kala pandemik Covid-19 menular,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar dijangka mempersembahkan keterangan lengkap jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk menubuhkan kerajaan baru esok.

Bulan lalu, ketua pembangkang itu dilaporkan berkata, Agong sudah menerimanya untuk menghadap, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dimasukkan ke Institut Jantung Negara pada 21 Sept lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.