Bekas banduan mahu jumpa semula anak selepas perubahan hidup

Bekas banduan mahu jumpa semula anak selepas perubahan hidup

Bekas banduan diberi peluang menyertai program penempatan yang dikenali sebagai I-Kembali, kerjasama antara Jabatan Penjara dan Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali.

I-Kembali ialah program kerjasama Jabatan Penjara dan Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali untuk membantu bekas banduan mencari pekerjaan.
CYBERJAYA:
Buat seketika, Alam (bukan nama sebenar) berhenti menangis dan tersenyum kerana memikirkan dia mungkin boleh mendapat kembali hak penjagaan 5 anaknya.

“Suatu hari nanti, saya akan ambil semula semua anak saya untuk hidup bersama saya. Saya akan jadikan mereka berjaya,” kata wanita itu yang baru dibebaskan daripada hukuman 5 bulan di Penjara Tapah, Perak.

Penagih dadah lebih 20 tahun itu hilang hak penjagaan anaknya sejurus ditahan dan disabitkan bersalah kerana memiliki dadah awal tahun ini.

Kini, wanita itu berusaha menjalani kehidupan baru dan membuktikan kepada bekas suami serta keluarganya, dia boleh menjadi ibu yang baik dan menyara anaknya.

“Saya bersyukur mempunyai pekerjaan sepenuh masa, asrama selesa dan majikan baik yang tidak pernah mendiskriminasi saya atas rekod jenayah saya.”

Alam, bersama 120 bekas banduan lain diberi peluang menyertai program penempatan yang dikenali sebagai I-Kembali, kerjasama antara Jabatan Penjara dan Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak).

Dalam kes Alam, dia bekerja sebagai warden di pusat pemulihan Pergak (asrama) untuk bekas banduan yang menyertai program itu.

“Saya sudah menetapkan matlamat saya untuk terus bekerja sebagai warden bagi Pergak sehingga saya boleh berdikari dan kembali kepada masyarakat.”

Seorang lagi bekas banduan, Angah (bukan nama sebenar) turut memberitahu diskriminasi yang dihadapinya selepas dibebaskan dari penjara.

“Saya mahu masyarakat tahu yang kami cuba sedaya upaya untuk berubah. Tiada siapa yang mahu kembali ke penjara, tetapi kebanyakan masa kami tiada pilihan. Masyarakat tidak mahu memberi kami peluang.”

Bapa tunggal kepada 3 anak itu terpisah daripada keluarganya akibat satu pertikaian di mana dia ditahan dan didakwa pada Ogos.

Dia enggan menjelaskan sifat pertikaian itu, tetapi katanya, dia menyerah diri kepada polis yang menyebabkan hakim menjatuhkan hukuman lebih ringan, iaitu penjara 2 bulan kepadanya.

“Ketika dipenjarakan, saya lihat ramai bekas banduan kembali ke penjara,” katanya sambil menambah tanpa program penempatan Pergak, dia mungkin mengalami nasib sama.

Angah kini bekerja dengan Pergak sebagai juruteknik penyelenggaraan di ibu pejabat NGO itu.

Katanya, semua anaknya tidak tahu di mana dia berada, tetapi mereka masih berhubung sekali-sekala.

“Saya akan berjumpa mereka selepas saya berjaya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.