Anwar nafi kaitan dengan syarikat senaraian awam sebelum hadap Agong

Anwar nafi kaitan dengan syarikat senaraian awam sebelum hadap Agong

Ketua pembangkang itu berkata, dakwaan berkenaan palsu dan bertujuan menipu pembeli saham.

Anwar Ibrahim menggesa Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan pasaran saham dimanipulasi individu tertentu untuk mengaut keuntungan dengan menyebarkan khabar angin palsu.
PETALING JAYA:
Presiden PKR, Anwar Ibrahim menafikan dakwaan mengaitkan dirinya dengan syarikat senaraian awam tertentu di Bursa Malaysia.

Ketua pembangkang itu berkata, dakwaan berkenaan palsu dan bertujuan menipu pembeli saham.

“Ini tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah beliau tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat senaraian awam.

“Saya meminta Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar pasaran saham tidak dimanipulasi individu tertentu untuk mengaut keuntungan dengan menyebarkan khabar palsu.”

Anwar, yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong esok atas dakwaan beliau mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, tidak memberikan butiran kepada khabar angin itu.

Jumaat lalu, The Edge Markets melaporkan Malayan United Industries Bhd (MUI) meraih minat pelabur dan muncul sebagai saham ke-2 paling aktif diniagakan pada dagangan awal.

Kaunter itu menyaksikan 228.66 juta saham diniagakan, dengan harga sahamnya meningkat 17.86% daripada 2.5 sen kepada 16.5 sen pada 11.13 pagi.

Laporan itu mendapati adik Anwar, Farizan, disenaraikan sebagai pengarah bebas bukan eksekutif MUI.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.