Undang-undang lebih baik untuk lindungi kanak-kanak, Putrajaya digesa

Undang-undang lebih baik untuk lindungi kanak-kanak, Putrajaya digesa

Para aktivis hak asasi kanak-kanak berkata kerajaan mesti bertindak mencegah penderaan seksual dalam kalangan kanak-kanak.

Aktivis hak kanak-kanak berkata undang-undang yang lebih ketat perlu untuk melindungi anak-anak.
PETALING JAYA:
Para pemimpin kerajaan digesa memberikan perlindungan yang lebih baik kepada kanak-kanak dengan mengubah dasar-dasar negara, terutama berhubung isu perkahwinan kanak-kanak dan penderaan seksual.

Bersempena Hari Kanak-kanak Perempuan Antarabangsa, aktivis hak kanak-kanak Ananthi Rajasingham dan Madeleine Yong berkata undang-undang yang lebih ketat diperlukan untuk mengekang kes penderaan seksual dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya perempuan.

Ananthi menekankan pentingnya menangani masalah perkahwinan kanak-kanak, dengan mengatakan kerajaan “tidak boleh menegakkan keadilan berdasarkan agama.”

“Contohnya sebelum ini, di mana kanak-kanak, budak perempuan, bawar umur 18 tahun dikahwinkan dengan lelaki yang lebih tua, ada juga sesetengahnya adalah pihak berkuasa agama sendiri, atas nama mahu lindung budak perempuan itu.

Aktivis hak kanak-kanak Ananthi Rajasingham.

“Perbuatan ini sangat memalukan dan tak boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat,” katanya kepada FMT, dan menambah semua kanak-kanak perempuan mesti dilindungi, tanpa mengira latar belakang.

Katanya, kanak-kanak perempuan perlu diajar teknik melindungi diri seperti konsep “sentuhan selamat” atau seni mempertahankan diri.

Ananthi, yang menjalankan gerakan Yayasan Chow Kit, menambah statistik kerajaan berhubung perkahwinan kanak-kanak tidak boleh dipercayai dan isu itu perlu lebih mendapat perhatian media.

Sementara itu, Madeleine Yong, pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Protect and Save The Children (PS The Children), menganggarkan sekitar 1 daripada 4 kanak-kanak didera secara seksual. Beliau sering menerima panggilan mengenai kes penderaan kanak-kanak setiap hari.

Katanya, kerajaan perlu melakukan kajian untuk melihat apakah angka tersebut meningkat dalam tempoh tertentu, terutama sejak eksploitasi seksual dalam talian dilihat semakin berleluasa.

Madeleine Yong, pengasas Protect and Save The Children.

Madeleine, yang juga pengasas bersama pusat terapi kanak-kanak Power of Play, mencadangkan agar “program pencegahan” diwajibkan di sekolah supaya kanak-kanak dapat memahami bagaimana melindungi diri daripada keganasan.

“Ia juga boleh menjadi mata pelajaran wajib di kolej, jadi bila pelajar itu menjadi peguam, guru atau usahawan, mereka akan dipersiapkan dengan pengetahuan perlindungan kanak-kanak.”

Selain mewujudkan dasar-dasar yang lebih baik untuk melindungi kanak-kanak, beliau menggesa pihak berkaitan memastikan undang-undang perlindungan kanak-kanak dilaksanakan dengan baik di lapangan.

“Ini sangat penting. Semua NGO cakap benda yang sama 10 tahun lepas. Sekiranya mereka tumpukan pada pelaksanaan, maka akan ada masa depan yang cerah buat kanak-kanak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.