Pelajar positif Covid-19, SMK Mutiara Labuan ditutup

Pelajar positif Covid-19, SMK Mutiara Labuan ditutup

Pelajar berkenaan tinggal di rumah kongsi di kawasan pembinaan yang didiami lebih 40 orang.

Semua guru SMK Mutiara menjalani ujian Covid-19 hari ini. (Gambar Bernama)
LABUAN:
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara diarah tutup sementara untuk proses sanitasi selepas seorang pelajarnya disahkan positif Covid-19, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

“Pelajar berkenaan (yang disahkan positif) tinggal di rumah kongsi di kawasan pembinaan (rumah setinggan) yang didiami lebih 40 orang. Dia dan 7 individu lain yang tinggal di sana didapati positif manakala ibu bapa pelajar itu belum mendapat keputusan ujian saringan.

“Dia (pelajar) ke sekolah sejak beberapa hari lepas sebelum kami mendapat keputusan awal bahawa dia disahkan positif pagi ini, dan sekolah ditutup sementara untuk sanitasi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, semua guru di sekolah itu termasuk guru di seluruh Labuan telah menjalani ujian swab Covid-19 di pusat kokurikulum Labuan hari ini dan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah itu pada 29 September hingga 2 Oktober juga diarah menjalani ujian saringan.

SMK Mutiara dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada ibu bapa awal pagi hari ini memaklumkan ibu bapa supaya mengambil anak mereka yang bersekolah pada 9.30 pagi berikutan arahan penutupan segera.

Semua guru sekolah itu diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dan dinasihatkan membawa pulang bahan mengajar bagi melaksanakan pengajaran dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.