
Ia terletak di atas tanah milik persendirian dan dipercayai beroperasi sejak lebih setahun lalu.
Pegawai lapangan badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pihak berwajib perlu melakukan siasatan terperinci berhubung kewujudan pusat pelupusan disyaki sisa industri secara kambus tanah di kawasan bukan ditetapkan.
“Sekiranya bahan buangan itu sisa industri, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak melakukan pelupusan.
“Pihak berkuasa juga perlu mendedahkan kepada umum sama ada ia bahan berbahaya kepada alam sekitar, buangan terjadual atau hanya sisa sebatian organik,” katanya selepas melakukan tinjauan bersama media di lokasi berkenaan hari ini.
Beliau mempersoalkan mengapa pihak terbabit tidak melupuskannya di tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya bahan buangan itu tidak berbahaya kepada alam sekitar.
Dalam pada itu, seorang pemilik resort, Nasaruddin Umar, 53, berkata sisa buangan berkenaan ditemui olehnya ketika melakukan kerja mengorek kelubung air yang pecah di kawasan resortnya 2 minggu lalu.
Katanya, kelubung berkenaan terpaksa dikorek kerana limpahan air bukit tidak dapat mengalir dengan baik sehingga mengakibatkan kawasan resortnya dilimpahi air.
Nasaruddin berkata, ada penduduk kampung yang mengusahakan inap desa turut mengadu kualiti air berubah.
Malah, ada penduduk yang menternak ikan tilapia dan keli menggunakan air sungai mendakwa ternakan mereka mati dan mengesyaki semua kejadian berpunca dari resort miliknya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak Rosli Zul ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menghantar pegawai ke lokasi didakwa untuk mengambil sampel buangan.
Katanya, sampel sisa buangan yang diambil kemudian akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis secepat mungkin.
“JAS juga akan mendapatkan maklumat pemilik tanah daripada Pejabat Tanah Daerah Kinta, bagi melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu,” katanya.