Bila Hajiji tempelak pembangkang guna fakta

Bila Hajiji tempelak pembangkang guna fakta

Hajiji Noor yang mengetuai GRS persoal rekod pemimpin pembangkang yang pernah jadi menteri peringkat negeri dan persekutuan.

Ahad lalu, sehari selepas penamaan calon PRN Sabah ke-17, penulis bersama beberapa rakan media berpeluang bertemu Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor yang mengetuai pentadbiran negeri itu sejak lima tahun lalu.

Pertemuan itu berlangsung dalam suasana santai, dan Hajiji yang baru sahaja pulang dari perjumpaan bersama jentera parti DUN Sulaman kelihatan bersemangat, mungkin kerana merasakan kehangatan penyokong parti.

“Momentum baik dan ‘suhunya’ makin naik; kalau beginilah, kita boleh raih kemenangan pada pilihan raya ini,” katanya yang menjadi wakil rakyat sejak 1990.

Namun, Hajiji sedar keyakinan penyokong sahaja tidak memadai untuk mengetepikan pesaing, terutamanya Warisan.

Beliau kini menyerahkan mandat kepada rakyat dengan menawarkan pelbagai inisiatif dijayakan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada September 2020.

Dari Kudat hingga ke Kalabakan, pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) dirasai pelbagai lapisan masyarakat.

Menangkis kritikan pembangkang

Paling dinantikan tentunya jawapan Hajiji terhadap kritikan pembangkang yang mendakwa pentadbiran GRS gagal menangani isu asas rakyat. Dakwaan itu dianggapnya sebagai tidak berasas.

“Gagal apa? Yang gagal, mereka,” katanya merujuk kepada beberapa pemimpin pembangkang yang pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri dan persekutuan.

Beliau mempersoalkan rekod sesetengah bekas menteri yang menurutnya tidak menambah baik jalan luar bandar, air atau elektrik ketika memegang portfolio itu.

Ada yang pernah menjadi menteri kerja raya Sabah, tegas Hajiji, tetapi tidak meninggalkan impak bermakna.

“Kawasan sendiri berlubang-lubang, tetapi menyalahkan kerajaan sekarang,” tambahnya merujuk kepada kritikan terhadap keadaan jalan raya di beberapa kawasan.

Hajiji berharap pengundi tidak mudah terpengaruh dengan ‘propaganda politik’ yang menurutnya bertujuan menutup kelemahan pentadbiran lalu. Sebaliknya, beliau mahu rakyat menilai berdasarkan rekod semasa dan perubahan yang telah dirasai.

Hantu bagi rasuah?

“Siapa yang bagi? Hantu?” Persoalan itu ditegaskan Hajiji apabila menyentuh pemberian rasuah dalam kontroversi permohonan lesen lombong mineral.

Menyentuh isu utama, Hajiji menegaskan kerajaan belum lagi membenarkan perlombongan sebaliknya lesen prospek atau cari gali, namun telah diputar belit oleh ‘orang luar Sabah’ yang mempunyai niat jahat.

Calon GRS, DUN Sulaman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor
Hajiji Noor harap pengundi tidak mudah terpengaruh dengan ‘propaganda politik’ yang menurutnya bertujuan tutup kelemahan pentadbiran lalu.

“Cari rezeki di sini tapi berlagak macam Sabah dia punya. Datang sini mesti sopan dan ikut peraturan.

“Jangan paksa kerajaan. Saya batalkan permohonan tidak memenuhi peraturan,” katanya yang kecewa dengan kontroversi itu ketika kerajaan pimpinannya mahu menguruskan sumber mineral dengan baik.

Walaupun tidak menyebut nama individu tertentu, kenyataan itu dipercayai merujuk ahli perniagaan Albert Tei yang dihadapkan ke mahkamah pada Jun atas tuduhan memberi rasuah bagi permohonan lesen.

Menenun naratif menjelang PRN

Menjelang PRN 29 Nov depan, naratif Hajiji dan GRS berkisar pada kestabilan, pengalaman serta konsistensi. Beliau mengakui perjalanan lima tahun ini bukan sempurna, tetapi menegaskan dasar digerakkan telah membuka ruang baharu untuk Sabah bergerak lebih jauh.

Kini, segala-galanya diserahkan kepada pengundi. Hajiji tahu sokongan penyokong di lapangan memberi tenaga, tetapi mandat sebenar hanya ditentukan di peti undi. Dan pada hari itu, rekod lima tahun akan diuji sama ada benar-benar mendapat kepercayaan rakyat atau sebaliknya.

 

Penulis ialah wartawan kanan FMT.

Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.