
Malaysia kini berada dalam fasa persiapan terakhir menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-47 pada 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Kuala Lumpur perlu memastikannya berjalan lancar kerana semua mata tertumpu ke negara ini disebabkan kedatangan pemimpin utama dunia khususnya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Secara keseluruhannya, sidang terakhir bagi menutup tahun ini dijangka memberi impak besar terhadap hala tuju masa depan Asean.
Asean 2025 menonjolkan kepemimpinan Malaysia dalam mengemudi rantau ini untuk mencapai sasaran 2045 dengan mempukukuhkan identiti sebagai blok yang berdaya tahan dan progresif.
Penerimaan Timor Leste: Kejayaan diplomatik Malaysia
Salah satu detik paling bersejarah yang bakal terpahat dalam lipatan sejarah Asean ialah penerimaan rasmi Timor Leste sebagai anggota penuh Asean ke-11 pada 26 Okt.
Pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas itu menandakan kejayaan diplomatik besar Malaysia sebagai tuan rumah dan pengerusi Asean 2025.
Kejayaan ini merupakan kemuncak kepada usaha gigih Kementerian Luar (Wisma Putra) yang sekian lama memperjuangkan penyertaan penuh negara termuda Asia Tenggara itu ke dalam keluarga Asean.
Jasa Malaysia dalam mengangkat Timor Leste ke pentas Asean bukan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba. Malaysia telah menzahirkan keyakinan terhadap wilayah itu apabila menjadi negara pertama yang membuka Kedutaan Besar di Dili pada 20 Mei 2002, sehari sebelum negara itu merdeka.
Malah, Malaysia secara konsisten menyokong pembangunan kapasiti pentadbiran, pertahanan dan ekonomi Timor Leste melalui program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP).
Kini, Malaysia sekali lagi mencipta sejarah dengan membawa Timor Leste ke dalam komuniti Asean secara rasmi, menzahirkan semangat keterangkuman dan perpaduan serantau yang menjadi roh kepada Asean sejak 1967.
Meluaskan horizon strategik Asean
Kemasukan Timor Leste membawa implikasi geopolitik yang signifikan terhadap landskap Asia Tenggara. Secara geostrategik, kedudukan Timor Leste antara Laut Banda, Laut Timor dan selatan Nusantara membuka koridor maritim baharu yang kritikal kepada keselamatan dan kestabilan rantau Indo-Pasifik.
Negara kecil ini berperanan sebagai jambatan geopolitik antara Asean dan Pasifik Selatan, sekali gus memperkukuh kedudukan Asean dalam kerjasama strategik dengan Australia dan negara Kepulauan Pasifik bawah Pacific Islands Forum (PIF).
Penyertaan Timor Leste juga meluaskan dimensi Asean dalam konteks persaingan kuasa besar, khususnya antara Amerika Syarikat dan China. Sebagai negara kecil dengan pengalaman pascakonflik, Timor Leste sering mengekalkan dasar luar berasaskan ‘neutral engagement’.
Ini adalah satu pendekatan yang sejajar dengan zon aman, bebas dan berkecuali (Zopfan) serta akan memberi Asean nilai tambah dalam meneguhkan prinsip ‘centrality’ dan ‘strategic autonomy’ dalam menghadapi tekanan geopolitik kuasa besar.
Bagi Malaysia, kemasukan Timor Leste memperkukuh lagi rangka kerja diplomasi selatan-selatan serta kedudukannya sebagai pemudah cara (honest broker) dalam hubungan Asean dengan komuniti antarabangsa. Ia juga menonjolkan kepemimpinan pragmatik Anwar dalam mendukung suara negara kecil dan menegakkan keadilan geopolitik di rantau ini.
Dari sudut ekonomi, penyertaan Timor Leste membuka pasaran baharu berjumlah kira-kira 1.3 juta penduduk, sekali gus memperluas saiz pasaran tunggal Asean yang kini melebihi 680 juta pengguna.
Walaupun kecil, Timor Leste memiliki sumber tenaga dan petroleum yang signifikan di kawasan Laut Timor, yang boleh memperkukuh rantaian bekalan tenaga serantau serta menarik pelaburan bersama bawah Asean Energy Cooperation Framework.
Secara keseluruhannya, keanggotaan penuh Timor Leste bukan sahaja memperkukuh kedudukan geopolitik Asean di persimpangan Indo-Pasifik, tetapi juga mencipta momentum ekonomi inklusif dan mampan untuk tempoh dua dekad akan datang, seiring visi Asean 2045: A Resilient, Dynamic and People-Centred Community.
Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur akan menjadi saksi kepada transformasi besar dalam sejarah rantau ini, kemasukan satu anggota baharu sekali gus kelahiran semula semangat Asean yang lebih luas, inklusif dan berpandangan jauh.
Dengan kejayaan membawa Timor Leste secara rasmi ke dalam Asean, Malaysia menegaskan peranannya sebagai arkitek masa depan rantau Asia Tenggara. Kepimpinan Anwar dalam Asean 2025 akan dikenang sebagai titik tolak yang memacu blok serantau ini ke arah kemakmuran bersama, kestabilan geopolitik dan solidariti serantau yang kukuh menjelang 2045.
Penulis ialah timbalan dekan (penyelidikan dan pembangunan) Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.