
Bahasa politik yang mandul
Ada waktu, kita tidak lagi marah mendengar jeritan pembangkang di gelanggang politik; kita cuma letih. Letih bukan kerana perbezaan pendapat, tetapi kerana kata-katanya sudah tidak berkembang. Setiap kali muncul isu baharu, kosa katanya tetap sama — ‘undur’, ‘letak jawatan’, ‘gagal’, ‘tipu rakyat’, ‘penyangak’, ‘pengkhianat’.
Ulang-ulang seperti penjual tilam atas lori yang berpusing di taman perumahan — “Tilam, tilam, tilam lama tukar baru!” Suaranya kuat, bergaung setiap kali, tetapi pesannya sama setiap kali. Bezanya, penjual tilam sekurang-kurangnya menjual sesuatu yang boleh digunakan; politik jenis ini cuma menjual gema kosong yang tak pernah menambah nilai.
Bahasa mencerminkan pemikiran. Bila kosa kata sempit, tanda pemikiran pun tumpul. Politik yang miskin bahasa adalah politik yang kehilangan daya fikir, kerana bahasa bukan sekadar alat; ia cermin kedalaman. Pemimpin yang hanya tahu menjerit “undur!” sebenarnya menjerit kelemahan dirinya sendiri — ketandusan hujah, kemandulan alternatif, dan ketagihan pada sorakan.
Politik suara, bukan idea
Parlimen sepatutnya tempat bertarung gagasan, tempat bahasa menjadi jambatan kepada dasar dan penyelesaian. Tetapi dalam suasana kini, ia lebih mirip gelanggang sorak. Satu pihak melaung ‘undur!’, satu pihak membalas ‘fitnah!’. Tiada ruang untuk perbahasan yang matang. Dalam budaya politik begini, mikrofon menjadi senjata, bukan wadah ilmu.
Rakyat yang mendengar di luar menjadi mangsa gema. Mereka disuap dengan drama, bukan data. Isu rumit seperti pendidikan, inflasi, dan ekonomi dipermudah dengan tiga perkataan ajaib: “kerajaan gagal total.” Sedangkan di luar dewan, rakyat menunggu solusi, bukan slogan.
Politik suara tanpa idea ini bukan hanya mencemarkan mutu wacana, tetapi menular ke budaya awam. Di media sosial, wacana berubah menjadi perlumbaan ejek-mengejek. Apa sahaja isu, jawapannya tetap sama — “undur.” Seolah-olah semua masalah dunia boleh diselesaikan dengan satu kata kerja.
Apabila wacana mati, retorik jadi raja
Kosa kata politik yang sempit menunjukkan wacana kita sudah mati. Tiada bahasa tentang reformasi dasar yang bernas, tiada cadangan berasaskan fakta, tiada keberanian mencipta naratif ekonomi yang baharu. Yang tinggal hanyalah retorik kering — diulang atas nama kebebasan bersuara, tetapi sebenarnya cerminan ketidakupayaan berfikir secara strategik.
Menjadi pembangkang bukan bermaksud menjadi gema kemarahan abadi. Ia menuntut kemampuan untuk berbicara dengan bukti, merancang dengan rasional, dan mengkritik dengan niat memperbaiki, bukan menjatuhkan. Bila pembangkang kehilangan bahasa pembangunan, mereka juga kehilangan hak moral untuk menegur.
Bahasa yang terhad melahirkan politik yang cetek. Semakin miskin kosa kata, semakin miskin visi. Kita tidak akan menemui wawasan dalam lidah yang hanya tahu menuduh. Politik bukan tentang siapa paling lantang, tetapi siapa paling mampu mengemukakan makna baharu kepada perjuangan.
Politik yang tidak belajar
Masalah sebenar bukanlah kurang ruang bersuara, tetapi kurang kemahuan untuk belajar. Di negara-negara maju, parti pembangkang berlumba menyiapkan laporan alternatif, pelan ekonomi bayangan, dan kertas cadangan dasar. Mereka berdebat dengan angka, bukan hanya dengan nada. Tetapi di sini, budaya politik masih berlegar di sekitar reaksi segera dan sindiran harian.
Bila politik tidak belajar, rakyat pun tidak diajar. Generasi muda yang memerhati politik meniru gaya yang sama — mengulang kata kasar, bukan membina idea besar. Maka lahirlah kitaran baharu politik picisan: bising tapi kosong, lantang tapi dangkal.
Lebih malang, selepas sekian lama bersidang dan bersuara, nak menamakan calon perdana menteri pun masih gagal. Bayangkan, bukan saja kehabisan hujah, tetapi juga kehabisan sosok yang diyakini. Bila arah pun kabur, kata-kata pun akan terus berpusing di tempat sama — ‘undur’, ‘letak jawatan’, ‘gagal’.
Selepas hampir tiga tahun menjadi pembangkang dalam era kerajaan Madani, masih tiada sumbangan konkrit dan bermakna yang mampu diangkat sebagai bukti kematangan politik. Tiada pelan alternatif yang meyakinkan, tiada dasar bayangan yang kukuh, tiada usaha membentuk hala tuju baharu untuk rakyat. Yang wujud hanyalah gema lama dalam wajah baharu — menuduh tanpa menawarkan jalan keluar.
Dalam keadaan begitu, rakyat semakin skeptikal terhadap suara yang hanya tahu mempersoalkan tetapi tidak pernah menyelesaikan. Bila pembangkang gagal menjadi cermin yang jujur, demokrasi pun kehilangan maknanya.
Bahasa politik yang kering juga melahirkan pemimpin yang lupa nilai kesantunan. Dalam debat awam, kata-kata kasar dianggap keberanian, bukan kebiadaban. Dalam media sosial, fitnah disamakan dengan fakta. Akhirnya, politik kehilangan nilai kerana bahasanya sudah kehilangan adab.
Kosa kata dan wawasan
Setiap bangsa yang besar bermula dengan bahasa yang besar. Ketika Soekarno berbicara tentang ‘marhaenisme’, Gandhi mengangkat ‘satyagraha’, dan Mandela menulis tentang ‘reconciliation’ — semuanya bermula daripada kosa kata yang memperluas makna perjuangan. Bahasa membuka ruang untuk visi, dan visi menuntut keberanian berbahasa di luar kebiasaan.
Tetapi bila bahasa politik kita hanya tahu ‘undur’ dan ‘letak jawatan’, apa visi yang tinggal? Negara tidak boleh dibina atas gema kata yang sama setiap minggu. Ia mesti digerakkan dengan imaginasi dan keberanian intelektual. Kosa kata yang kaya akan melahirkan politik yang cerdas, kerana setiap kata yang berbeza membuka pintu kepada pemikiran baharu.
Politik bukan sekadar bertahan dalam kuasa, tetapi menghidupkan makna baharu kepada demokrasi. Bahasa adalah permulaannya. Tanpa bahasa yang bernas, perjuangan akan kehilangan akar dan hala.
Politik yang lupa membaca
Politik pembangkang di negara ini bukan kurang semangat, tetapi kurang kosa kata. Mereka tidak kekurangan mikrofon, tetapi kekurangan buku. Mereka lantang berbicara tentang moral, tetapi jarang berbicara tentang strategi. Bila bahasa menjadi sempit, visi juga mengecil.
Politik yang matang bukan menuntut semua orang bersetuju, tetapi menuntut semua pihak tahu berkata sesuatu yang bermakna. Rakyat tidak perlukan lagi gema kemarahan, tetapi hujah bernas yang mampu memperbaiki hidup.
Kerana akhirnya, politik bukan tentang siapa yang menjerit paling kuat, tetapi siapa yang mampu memperkayakan makna ‘berjuang’. Jika kosa kata masih di situ — ‘undur’, ‘letak jawatan’, ‘gagal’ — maka mungkin bukan kerajaan yang gagal, tetapi bahasa politik kita sendiri yang sudah lumpuh.
Mohamed Nasser Mohamed adalah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.