Simfoni senyap di tengah riuh

Simfoni senyap di tengah riuh

Mungkin dunia tidak akan pernah benar-benar sunyi tetapi kita boleh memilih untuk menjadikan kebisingan itu hanya latar bukan pusat kehidupan.

Pagi yang masih bernafas

Pagi di kampung selalu punya cerita sendiri. Udara lembap dan dingin menyapa kulit, bau tanah basah bercampur harum bunga kenanga dari halaman. Ayam jantan berkokok dari kejauhan, disahut gonggongan anjing jiran. Angin menggerakkan daun pisang sehingga berdesir perlahan, seolah-olah mengirimkan salam pagi. Hanya kedengaran bunyi tapak kaki beberapa orang menuju surau, suara mereka rendah dan teratur. Semua ini mencipta satu simfoni yang lembut, cukup untuk menyedarkan kita bahawa dunia belum mula riuh. Pada saat inilah kita benar-benar merasakan betapa senyap itu berharga – ia seperti pintu rahsia yang membawa kita kepada diri sendiri.

Kampung yang sunyi itu memberi peluang untuk kita mendengar sesuatu yang jarang kita sedari – deru darah dalam telinga, bunyi kain bergesel, malah suara hati sendiri. Barangkali sebab itulah orang tua-tua suka bangun awal; bukan sekadar kerana rutin, tetapi kerana mereka tahu subuh adalah waktu jiwa lebih jernih dan doa lebih meresap.

Menemui sunyi di tengah kota

Di kota besar, suasana begini semakin sukar dicari. Jalan raya tidak pernah benar-benar lengang, dan bunyi enjin kenderaan menjadi latar yang tidak pernah padam. Namun di Mumbai, seorang pengawal kereta api bernama Suraj Mehta menemui cara memelihara kesunyian batinnya walaupun setiap hari dikelilingi bunyi dentuman logam, wisel kereta api, dan derap ribuan kaki penumpang.

Mehta bercerita bahawa dia mula mencari ketenangan setelah beberapa tahun bekerja di stesen, apabila rasa letih dan mudah marah semakin kerap datang. “Jika kita tunggu dunia menjadi senyap, kita takkan dengar apa-apa. Kita mesti mencipta kesunyian itu di dalam diri,” katanya. Setiap subuh, sebelum stesen dipenuhi orang, Mehta berdiri di hujung platform, mendengar bunyi rel yang masih tenang, merasai hembusan angin pagi, dan menarik nafas dalam-dalam. Baginya, saat itu seperti solat – menyiapkan hati sebelum menghadapi hari yang bising.

Kisah Mehta mengingatkan kita bahawa sunyi bukan tentang tempat, tetapi keputusan. Jika seorang lelaki di bandar sesibuk Mumbai boleh mencipta ritual sunyinya, kita juga boleh mencari cara menenangkan diri walaupun di tengah kesibukan kota.

Sunyi sebagai terapi

Kajian saintifik menunjukkan hanya dua minit dalam suasana senyap boleh menurunkan tekanan darah dan memperlahankan degupan jantung. Dalam keadaan hening, otak mengaktifkan default mode network – bahagian yang bertanggungjawab pada refleksi diri, kreativiti, dan pembelajaran daripada pengalaman.

Inilah sebabnya kita sering mendapat idea baharu ketika sedang mandi atau berjalan sendirian. Dalam keadaan sunyi, minda memproses pengalaman, mengikat makna, dan memberi kita ruang untuk faham apa yang sedang berlaku dalam hidup.

Di kampung, waktu selepas Subuh sering menjadi detik paling damai. Selepas solat, hanya kedengaran suara burung murai dan sayup-sayup azan dari kampung sebelah. Banyak orang tua mengambil peluang ketika ini untuk duduk di serambi rumah, meminum kopi panas, dan merenung sawah yang mula disimbah cahaya pagi. Ketika kecil, kedai ayah saya beroperasi selepas Subuh dan antara pelanggan awal ialah mereka yang pulang dari surau. Tanpa sedar, mereka sedang ‘melakukan terapi senyap’ – memulihkan fikiran, menenangkan hati, dan merancang hari dengan lebih waras.

Kebisingan yang menyerap jiwa

Namun, dunia moden membawa kebisingan yang halus menyerap jiwa. Bunyi tidak lagi datang hanya dari luar seperti hon kereta atau televisyen, tetapi juga dari skrin di tangan kita. Notifikasi media sosial, pesanan suara, dan bunyi mesyuarat maya mencuri perhatian kita daripada diri sendiri.

Rohan Agrawal menulis bahawa gangguan bunyi boleh mencetuskan ‘dissonance dalaman’ – fikiran terpecah, hati resah, dan kita lupa mendengar apa yang sebenarnya kita perlukan. Kita jadi sibuk membalas, menyukai, menatal, sehingga tidak lagi tahu apa yang sebenarnya penting. Pepatah Melayu ‘diam-diam ubi berisi’ mengingatkan kita bahawa diam bukan kelemahan, sebaliknya ruang untuk mengisi diri dengan hikmah. Tanpa senyap, kita hanya bertindak balas, bukan bertindak dengan sedar.

Mendengar suara dalam

Dalam hening, kita boleh mendengar suara yang lama tenggelam. Kadang-kadang kita sedar bahawa kita sebenarnya penat dan perlukan rehat. Ada waktunya kita teringat impian lama yang tertangguh. Keheningan menjadi guru yang mengajar kita keberanian – keberanian untuk melihat kelemahan, memaafkan diri, dan menetapkan haluan baharu.

Banyak tokoh besar memelihara ritual senyap. Penulis terkenal Haruki Murakami, misalnya, terkenal dengan rutin paginya yang penuh disiplin – bangun awal, berlari, kemudian duduk menulis tanpa gangguan. Keheningan bukan hanya membuatnya produktif, tetapi memberinya ruang mendengar irama fikirannya. Dalam dunia yang terlalu pantas, disiplin ini bukan sahaja rahsia kejayaan, tetapi rahsia kesihatan jiwa.

Cara mengundang keheningan

Untuk mengundang keheningan, kita boleh memulakan hari sedikit lebih awal. Lima belas minit sebelum orang lain bangun memberi peluang untuk bernafas dalam, meregangkan badan, dan menetapkan niat harian. Sudut kecil di rumah boleh dijadikan ruang sunyi – sebuah kerusi dan lampu kecil cukup untuk membaca atau menulis, tanpa kehadiran telefon atau gajet.

Kita juga boleh berpuasa digital dengan menetapkan satu jam sehari tanpa media sosial, menggunakan waktu itu untuk berbual dengan keluarga atau menulis jurnal. Alam pula sentiasa menunggu kita; berjalan di sawah, duduk di bawah pokok, atau mendengar bunyi hujan di beranda membantu saraf kembali tenang. Dalam perbualan, melatih diri mendengar tanpa menyampuk memberi ruang kepada orang lain untuk meluah. Dan setiap kali terasa minda berserabut, gunakan nafas sebagai sauh – tarik perlahan, lepaskan perlahan, bayangkan kebisingan keluar bersama hembusan itu.

Ritual senyap kecil seperti makan malam tanpa gajet atau lima minit duduk diam sebelum tidur mampu mengeratkan hubungan keluarga dan mengajar anak-anak fokus. Kesunyian yang kita cipta sedikit demi sedikit akhirnya membentuk suasana rumah yang lebih tenteram.

Keheningan dan rohani

Dalam budaya Melayu dan Islam, waktu hening seperti sebelum Subuh dan selepas Isyak dianggap saat terbaik untuk berdoa dan merenung. Senyap membantu kita hadir sepenuhnya dalam ibadah, mendengar bacaan sendiri, dan merasakan kedamaian. Bahkan dalam adat lama, duduk di serambi selepas kerja sawah adalah masa orang tua memberi nasihat, berkongsi cerita, atau sekadar diam bersama. Senyap menjadi bahasa kasih sayang yang tidak perlu diterjemah.

Hadiahkan diri dengan sunyi

Mungkin dunia tidak akan pernah benar-benar sunyi. Jalan raya akan terus sibuk, media sosial akan terus berbunyi, dan berita akan terus datang. Tetapi kita boleh memilih untuk menjadikan kebisingan itu hanya latar, bukan pusat kehidupan.

Hari ini, cuba beri diri lima minit hadiah senyap. Duduk, tarik nafas, dengar bunyi alam, atau sekadar dengar degupan jantung sendiri. Biarkan fikiran mendap seperti air keruh yang perlahan-lahan menjadi jernih. Dalam keberanian memilih senyap, kita bukan sahaja menjumpai ketenangan, tetapi juga menemui semula diri kita yang sebenar. Secara peribadi, saya menutup telefon bimbit sepenuhnya pada waktu tidur. Keluarga terdekat tahu bagaimana menghubungi saya jika ada kecemasan. Anda pula bagaimana?

 

Mohamed Nasser Mohamed adalah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.