
Lebih lima dekad lalu, negara kita melalui satu episod getir yang menguji perpaduan dan keharmonian rakyat. Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi detik hitam yang membekas dalam sejarah negara. Namun, daripada peristiwa inilah lahirnya kesedaran mendalam bahawa keamanan dan perpaduan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah, sebaliknya mesti dipelihara, diperkukuh, dan dipertahankan dengan penuh kesungguhan.
Atas kebijaksanaan kepimpinan negara ketika itu, khususnya Allahyarham Abdul Razak Hussein, lahirlah gagasan Rukun Tetangga melalui penguatkuasaan Peraturan-peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 bawah Ordinan Darurat 1969. Inisiatif ini muncul sebagai langkah strategik untuk membina benteng keselamatan masyarakat serta wadah memperkukuh integrasi rakyat selepas tragedi tersebut. Kawasan Rukun Tetangga (KRT) pertama mula ditubuhkan pada 1974 dengan penubuhan KRT Kampung Baru Macap Baru pada 1 Jan 1974, KRT Pekan Alor Gajah pada 2 Jan 1974, dan KRT Pekan Masjid Tanah pada 3 Jan 1974. Dari titik permulaan inilah bermulanya sebuah perjalanan panjang KRT sebagai institusi rakyat yang berperanan menjaga keamanan dan keharmonian negara.
Sepanjang lima dekad kewujudannya, Rukun Tetangga mengalami transformasi yang besar selari perkembangan negara dan tuntutan zaman. Pada awalnya, Rukun Tetangga berfungsi sebagai mekanisme keselamatan yang menekankan rondaan wajib bagi memastikan kejiranan berada dalam keadaan terkawal. Namun, fungsinya tidak terhenti di situ. Menjelang 1980-an, pendekatan Rukun Tetangga berkembang kepada konsep kejiranan yang menekankan hubungan mesra dan kerjasama sesama jiran.
Perubahan ini terus berlanjutan pada 2001 apabila Rukun Tetangga diberi wajah baharu dengan memperkenalkan konsep pembangunan komuniti, sejajar aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat lebih sejahtera dan bersatu padu. Pada 2010, model transformasi Rukun Tetangga dilancarkan bagi menyusun semula peranan KRT agar lebih inklusif dan bersesuaian dengan cabaran semasa. Evolusi ini mencapai kemuncak pada 2024 apabila Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif, yang menekankan keupayaan KRT untuk bergerak sebagai ejen perubahan di peringkat akar umbi, berdaya saing dalam ekosistem sosial semasa, serta mendukung agenda besar Malaysia Madani.
Hari ini, dengan jumlah sebanyak 8,529 KRT di seluruh negara, institusi ini menjadi tulang belakang kepada usaha kerajaan dalam memupuk semangat kejiranan, memperkukuh perpaduan dan memastikan kesejahteraan komuniti setempat. Peranan KRT melangkaui sekadar aktiviti rondaan atau gotong-royong, malah telah berkembang menjadi platform integrasi masyarakat yang menyatukan rakyat berbilang kaum melalui program kesenian dan kebudayaan, pameran warisan sejarah, sukan rakyat, serta pelbagai aktiviti komuniti yang menghidupkan semangat kebersamaan.
KRT juga menjadi wadah penting dalam menyampaikan aspirasi dan dasar kerajaan kepada rakyat. Ia berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan pentadbiran dengan masyarakat, memastikan suara rakyat didengari, keperluan mereka diambil kira, serta setiap dasar yang digubal benar-benar menyentuh dan memenuhi realiti kehidupan di peringkat akar umbi.
Namun demikian, timbul juga persoalan adakah KRT masih relevan dalam dunia moden yang penuh dengan teknologi dan jaringan media sosial? Jawapannya, ya. KRT kekal relevan kerana ia mengangkat nilai sejagat yang tidak pernah lapuk ditelan zaman: kepercayaan, kebersamaan dan rasa tanggungjawab terhadap jiran. Malah, banyak negara maju turut mengekalkan inisiatif kejiranan mereka. Sebagai contoh, di United Kingdom, program ‘Neighbourhood Watch’ terus berfungsi sebagai platform keselamatan komuniti dengan penyertaan ribuan kawasan kejiranan di seluruh negara. Di Jepun pula, ‘Koban System’ yang menghubungkan balai polis mini dengan komuniti setempat menjadi model berkesan dalam membina keyakinan, kerjasama dan rasa selamat dalam kalangan masyarakat. Kedua-dua contoh ini membuktikan mekanisme kejiranan berstruktur tetap relevan walaupun masyarakat berubah, kerana ia menyentuh aspek paling asas dalam kehidupan: rasa selamat, rasa memiliki, dan rasa kebersamaan.
Menginjak usia 50 tahun, Rukun Tetangga terbukti sebagai institusi yang dinamik, relevan dan terus berfungsi sebagai ejen penyatuan negara. Aspirasi kita adalah untuk melihat KRT terus progresif, digerakkan oleh komuniti setempat, dan menjadi medan pembinaan bangsa yang inklusif, harmoni serta berdaya tahan. Dalam kerangka Malaysia Madani, Rukun Tetangga kekal sebagai salah satu teras penting untuk memastikan perpaduan bukan sahaja diwarisi, tetapi diperkasakan dan diteruskan oleh generasi akan datang.
Aaron Ago Dagang adalah menteri perpaduan negara.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.