
Beberapa hari ini, kita mendengar ura-ura ada rakyat khususnya di Sabah yang memilih untuk tidak meraikan Hari Kemerdekaan. Alasan kedengaran berpunca daripada kesedihan dan kemarahan terhadap peristiwa tragis menimpa Zara Qairina Mahathir. Kesedihan itu nyata, luka ditinggalkan benar-benar mengguris hati rakyat. Namun, pertanyaan lebih besar perlu diajukan: adakah wajar kita mengorbankan makna merdeka kerana sentimen semasa, walau sebesar mana pun kesedihan itu?
Kita boleh marah, kita boleh kecewa, kita boleh bersedih. Tetapi merdeka bukan sekadar pesta tarian jalanan atau nyanyian patriotik di pentas besar. Ia adalah simbol sejarah yang menjadikan kita sebuah bangsa berdiri sendiri. Ia adalah detik pengorbanan tidak ternilai, dan detik itulah yang tidak boleh kita cabut daripada akar kehidupan kita hari ini.
Luka peribadi, luka bangsa
Kisah Zara menyentuh hati semua. Termasuk anda dan saya. Seorang anak kecil menjadi korban, ibu bapa di mana-mana pun akan rasa marah, pedih, dan kecewa. Namun, di sebalik duka itu, kita tidak boleh menolak hakikat bahawa merdeka ialah ruang yang memberi kita kekuatan untuk menuntut keadilan.
Jika bangsa ini masih terbelenggu penjajah, suara rakyat tidak akan didengar, bahkan isu sepedih ini tidak mungkin menjadi perhatian umum. Luka itu memang mesti diubati, keadilan mesti ditegakkan, tetapi merdeka adalah pintu yang membolehkan kita bersuara dan memperjuangkannya.
Darah pejuang, air mata bangsa
Kemerdekaan negara ini bukan hadiah percuma. Ia ditebus dengan darah, keringat, dan nyawa. Nama-nama itu seharusnya terus hidup dalam ingatan kita: Mat Salleh di Sabah yang memimpin pemberontakan menentang British; Rosli Dhobi di Sarawak, remaja yang dihukum gantung kerana menolak penjajahan; Tok Janggut di Kelantan yang bangkit dengan keris menentang Inggeris; Dato’ Maharajalela di Perak, yang rela mati di tiang gantung; Dol Said di Naning yang menolak penindasan; Mat Kilau di Pahang, yang hidup bertahun-tahun dalam sembunyi; serta tokoh nasional seperti Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, VT Sambanthan, Sardon Jubir, dan Dr Ismail.
Ada yang berjuang dengan senjata, ada dengan politik, ada dengan tulisan, ada dengan diplomasi. Berbeza cara, namun satu tujuan: tanah air mesti bebas.
Pengorbanan orang biasa
Kemerdekaan bukan hanya kisah tokoh besar. Ia juga kisah orang kecil di kampung dan desa yang sanggup mengorbankan apa yang mereka ada. Ada ibu menyerahkan gelang emas, ada ayah menggadaikan tanah, ada keluarga menjual hasil kebun, ada anak muda menyerahkan gaji pertama — semuanya demi mengisi tabung kemerdekaan.
Sumbangan itu membolehkan rombongan pimpinan negara ke London menuntut kemerdekaan dengan penuh maruah. Tanpa pengorbanan barang kemas dan wang ringgit rakyat biasa, mungkin perjalanan bersejarah itu tidak akan berlaku. Rakyat tidak berada di meja rundingan, tetapi doa, air mata, dan harta mereka mengiringi setiap langkah ke arah kebebasan.
Mereka datang dari latar berbeza — ada yang bertempur dengan senjata, ada yang berjuang dengan politik, ada yang menulis, ada yang berdiplomasi. Tetapi semuanya satu tujuan: tanah air ini mesti bebas.
Apabila kita enggan meraikan merdeka, seolah-olah kita menutup mata terhadap pengorbanan itu. Kita lupa darah yang tumpah, lupa air mata isteri yang kehilangan suami, lupa anak-anak yang membesar tanpa bapa kerana beliau memilih menentang penjajah. Apakah adil kita melupakan mereka hanya kerana kita kini hidup selesa?
Hidup mereka, hidup kita
Hari ini kita menikmati elektrik, jalan raya berturap, sekolah moden, internet di hujung jari. Kita boleh menulis, mengkritik, berhimpun, dan mengundi. Semua ini adalah hasil perjuangan merdeka.
Bandingkan dengan kehidupan pejuang terdahulu: mereka berjalan dari kampung ke kampung menyemarakkan semangat, bersenjata parang menentang meriam, dipenjara, dibuang negeri, dihukum mati. Mereka tidak menuntut untuk diri sendiri, tetapi untuk anak cucu yang mereka tidak sempat kenali. Kitalah anak cucu itu.
Apakah adil kita berkata: “Aku enggan meraikan merdeka kerana aku sedang marah dan sedih”, sedangkan pengorbanan mereka jauh lebih besar daripada duka yang kita rasakan sekarang?
Pahitnya hidup tanpa merdeka
Lebih pedih lagi, hingga hari ini masih ada bangsa yang belum merdeka. Kosovo yang mengisytiharkan kemerdekaan pada 2008 masih hanya diiktiraf sebahagian dunia. Sahara Barat, yang mendeklarasikan kemerdekaan sejak 1976, masih terumbang-ambing mencari pengiktirafan antarabangsa. Taiwan, walaupun berdiri dengan ekonomi moden, terus ditekan bawah bayang-bayang ‘satu China’. Palestin pula menjadi simbol luka dunia, rakyatnya kehilangan tanah dan nyawa sejak puluhan tahun. Ossetia Selatan dan Abkhazia juga hidup dalam ketidakpastian, bergantung pada kuasa luar.
Bangsa ini mahu mengibar bendera tanpa takut, mahu menyanyi lagu kebangsaan tanpa rasa bersalah, mahu meraikan kebebasan tanpa cemas. Namun, mereka tidak memilikinya.
Sedangkan kita di Malaysia sudah 68 tahun merdeka, dengan Jalur Gemilang berkibar megah. Nikmat ini terlalu mahal untuk dikhianati hanya kerana sentimen semasa.
Sabah, Sarawak dan kebersamaan
Di Sabah, nama Mat Salleh terus menjadi lambang keberanian. Di Sarawak, Rosli Dhobi adalah saksi bahawa generasi muda juga sanggup menukar nyawa dengan kebebasan bangsanya. Di Semenanjung, nama Tok Janggut, Dato’ Maharajalela, dan Mat Kilau terpahat sebagai bukti bahawa tanah ini subur dengan darah perjuangan.
Merdeka bukan milik Semenanjung sahaja, bukan milik elit politik semata, tetapi milik seluruh bangsa — dari desa hingga bandar, dari utara Semenanjung hingga ke hujung Borneo.
Merdeka itu amanah
Merdeka adalah amanah, bukan sekadar tarikh dalam kalendar. Ia diwariskan kepada kita bukan untuk dilupakan, tetapi untuk dipelihara. Kita boleh berduka, tetapi jangan sampai duka itu membutakan kita daripada menghargai amanah ini. Kita boleh marah, tetapi jangan biarkan kemarahan memadam ingatan kepada pengorbanan nenek moyang.
Merdeka menuntut syukur, bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi dengan menjaga warisan itu sebaiknya. Menolak untuk meraikannya hanya menunjukkan bahawa kita lupa betapa beratnya harga yang sudah dibayar.
Di balik luka, masih ada merdeka
Isu Zara menyentuh hati kita semua. Namun, menjadikan isu itu alasan untuk menolak merdeka adalah kesilapan yang akan menjadi igauan. Luka peribadi, walau dalam mana pun, tidak boleh menenggelamkan makna kolektif yang lebih agung.
Setiap kali Jalur Gemilang berkibar, ingatlah bahawa warnanya bukan sekadar cat di atas kain. Ia simbol darah, air mata, harapan, dan pengorbanan. Ingatlah nama Mat Salleh, Rosli Dhobi, Tok Janggut, Dato’ Maharajalela, Dol Said, Mat Kilau, serta ribuan pejuang lain yang tidak tercatat dalam buku sejarah. Ingatlah juga ibu bapa dan datuk nenek kita yang menyerahkan barang kemas, wang ringgit, harta keluarga demi membiayai perjalanan menuntut kemerdekaan.
Merdeka bukan milik kerajaan, bukan milik segelintir berkuasa. Merdeka adalah milik kita, rakyat dan kerana itulah kita mesti meraikannya — dengan bangga, dengan syukur, dengan hati yang sedar akan harga yang sudah dibayar.
Kerana jika kita biarkan luka menenggelamkan merdeka, itulah sebenarnya kekalahan paling besar. Jom kita berjuang demi keadilan sambil menyambut merdeka!
Mohamed Nasser Mohamed adalah karyawan dan editor perunding yang terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.