
Mempertahankan kedaulatan negara pada era kini bukan lagi sekadar berdepan ancaman fizikal oleh anasir luar yang mahu menggugat Malaysia, seperti insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah pada 2013.
Risiko baharu muncul di alam maya seiring ledakan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI). Ancaman seperti cubaan mengintip maklumat sulit kerajaan dan mencuri data peribadi rakyat sentiasa wujud di sebalik usaha mengekangnya.
Namun, potensi teknologi seperti AI dalam melancarkan urusan seharian, meningkatkan produktiviti dan menjana pendapatan tidak boleh dinafikan.
Atas dasar itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyatakan harapan agar Malaysia beralih daripada sekadar pengguna kepada peneraju teknologi, pengeluar produk dan penyedia perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ bertaraf dunia.
Salah satu bidang tumpuan yang digariskan Anwar ialah AI sebagai aset digital strategik. Beliau menegaskan keperluan memantapkan ekosistem AI melalui pengukuhan kepercayaan digital (digital trust).
“Strategi kepercayaan digital dan keselamatan data nasional akan dilancarkan untuk melindungi data peribadi, menangani ancaman siber serta memastikan keselamatan ekosistem dan kedaulatan digital negara, termasuk melalui penerokaan teknologi komunikasi kuantum,” katanya di Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Penekanan terhadap ancaman siber dan kedaulatan digital membuktikan kerajaan serius menangani ancaman menggunakan teknologi ciptaan sendiri atau ‘Made by Malaysia’.
AI tempatan benteng strategik
AI buatan Malaysia berpotensi memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan negara melalui pelbagai cara, antaranya mengukuhkan keselamatan data nasional bagi mengesan cubaan penggodaman, sabotaj atau pencerobohan digital.
Dalam era perang maklumat, AI juga boleh membantu mengenal pasti kempen pengaruh asing di media sosial dan ruang digital. Model bahasa tempatan yang memahami konteks budaya dan politik Malaysia mampu mengesan naratif yang cuba menggugat kestabilan negara.
Selain itu, AI boleh dimanfaatkan dalam sistem ramalan dan tindak balas bencana alam seperti banjir, jerebu dan gempa bumi, sekali gus meningkatkan keupayaan kerajaan melindungi rakyat dan infrastruktur strategik.
Paling utama, AI boleh meningkatkan produktiviti yang akhirnya diterjemahkan kepada keuntungan perniagaan dan peningkatan gaji pekerja. Sektor pendidikan juga akan meraih manfaat melalui kemudahan rujukan untuk guru dan pelajar.
Namun, lebih penting teknologi dan kandungannya perlu dibangunkan oleh anak tempatan supaya ia sesuai dengan konteks Malaysia.
Cabaran menanti
Bagaimanapun, usaha membangunkan AI tempatan bukan tanpa cabaran. Ia memerlukan pelaburan besar, dasar perlindungan data yang kukuh dan kerjasama merentas sektor awam-swasta.
Selain itu, pembangunan AI perlu selaras dengan prinsip etika, hak asasi manusia dan tidak disalah guna untuk pengawasan melampau.
Dari segi pelaburan, diakui ia antara cabaran terbesar. Namun, komitmen kerajaan terutama Perdana Menteri mungkin mampu mengurangkan halangan ini melalui projek mega yang melibatkan kerjasama Nvidia Corporation dan YTL Power International Berhad.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, projek pembangunan infrastruktur AI berasaskan teknologi hijau bernilai RM10 bilion itu merangkumi pembinaan pusat data AI dan penggunaan unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia.
“Paling penting, penciptaan model bahasa raya (LLM) berdaulat Malaysia sendiri akan meletakkan negara ini sebagai hab dan pusat kecemerlangan AI di Asean,” katanya yang menegaskan projek ini sebagai bukti perbincangan Anwar dengan pelabur luar bukan sekadar omong kosong.
Kesimpulannya, AI ‘Made in Malaysia’ berpotensi menjadi pemangkin perubahan landskap ekonomi dan teknologi negara. Namun, ia mesti dibangunkan mengikut acuan tempatan dan dilengkapi ciri keselamatan yang ketat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.