
Usai Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan insentif dikenali sebagai penghargaan khas kepada rakyat Malaysia pada Rabu lalu, pelbagai pandangan dilontarkan dan sentimen dimainkan, sama ada di media, alam maya mahupun kedai kopi.
Perkara paling hangat diperkatakan sudah pastinya penurunan harga RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99. Menurut Anwar, rakyat akan menikmati kadar baharu itu selepas September, sejajar dengan pelaksanaan subsidi bersasar bagi bahan bakar berkenaan.
Satu lagi ‘hadiah’ bermakna ialah peluasan bantuan RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 22 juta individu berusia 18 tahun ke atas. Melalui program ini, penerima boleh menebus lebih 90,000 barangan dalam 14 kategori di 4,100 premis terpilih.
Insentif ini diberikan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, dan boleh digunakan bermula 31 Ogos hingga 31 Disember. Mungkin menyedari ada golongan berkemampuan yang tidak memerlukan bantuan tersebut, perdana menteri menjelaskan bahawa nilai tidak ditebus akan disalurkan kepada golongan rentan.
Akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan turut dipertingkat menerusi penambahan dana program Jualan Rahmah daripada RM300 juta kepada RM600 juta, yang akan dilaksanakan di 600 kawasan DUN.
Hadiah terakhir yang diumumkan ialah pengekalan kadar tol lebuh raya yang sepatutnya dinaikkan tahun ini, menurut perjanjian dengan syarikat konsesi. Sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk tujuan ini.
Evolusi dasar kebajikan
Di sebalik pelbagai dakwaan yang seolah-olah meremehkan pengumuman tersebut, harus diakui terdapat iltizam oleh kerajaan untuk memulakan langkah ke arah memperkenalkan satu dasar kebajikan negara sebagai panduan masa depan.
Ahli ekonomi Geoffrey Williams melihat bantuan RM100 secara sekali beri di bawah SARA sebagai satu ‘titik perubahan berpotensi’ dalam dasar kebajikan negara.
“Ini satu inisiatif baik dan boleh berfungsi sebagai projek perintis kepada reformasi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA untuk membentuk sistem Pendapatan Asas Sejagat (UBI) pertama di dunia, menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam reformasi kebajikan.
“Ia mempunyai semua ciri-ciri UBI, iaitu pemindahan tunai kepada individu, bukan isi rumah, tanpa syarat dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa perlu memohon,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Insentif kali pertama ini juga boleh mencetuskan peningkatan kuasa beli yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik. Perbelanjaan di kedai dan premis terpilih dijangka mewujudkan kesan limpahan berantai.
Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion untuk program SARA dan STR – yang merupakan jumlah terbesar dalam sejarah bantuan sosial – demi memastikan kesejahteraan rakyat.
Kurang pembaziran subsidi
Kerajaan dianggarkan membelanjakan hampir RM20 bilion bagi subsidi bahan bakar, namun ia turut dinikmati oleh golongan yang tidak layak seperti warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Oleh itu, langkah pelaksanaan subsidi bersasar dilihat sebagai strategi dua serampang: mengelakkan penyalahgunaan subsidi serta mengurangkan pembaziran.
“Rasionalisasi subsidi bukan bertujuan mengurangkan kos sara hidup, tetapi lebih kepada mengurangkan pembaziran perbelanjaan subsidi.
“Langkah ini tidak akan membebankan rakyat dan dibiayai melalui penjimatan daripada golongan berpendapatan tinggi,” kata Williams mengenai keputusan kerajaan melaksanakan subsidi bersasar untuk RON95.
Hargai Sabah, Sarawak
Penambahan cuti umum sempena Hari Malaysia pada 15 September juga boleh dilihat sebagai strategi dua hala – menghargai sambutan yang dekat di hati warga Sabah dan Sarawak, serta menjana kesan ekonomi.
Cuti tambahan ini membolehkan orang ramai bercuti panjang dari 13 hingga 16 Sept. Tempahan hotel dan inap desa dijangka penuh, manakala restoran dan gerai makanan akan menerima lonjakan pengunjung.
Manfaatnya pasti dirasai oleh penduduk setempat – daripada pengusaha penginapan, makanan dan minuman sehingga ke kedai cenderamata.
Namun yang lebih penting, langkah ini dapat mengingatkan rakyat tentang peristiwa penting penubuhan Malaysia pada 16 Sept 1963 – suatu peristiwa sering dianggap terpinggir dalam naratif nasional yang lebih tertumpu pada 31 Ogos, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Ramzah Dambul.
“Cuti khas pada 15 September 2025 mencerminkan pengiktirafan terhadap Sabah dan Sarawak.
“Namun, rakyat berharap langkah ini disusuli dengan tindakan konkrit seperti pembangunan seimbang dan pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), agar simbolisme ini menjadi asas kepada kesamarataan wilayah dan perpaduan nasional yang tulen,” katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.
Menuju ke hadapan, diharapkan lebih banyak usaha memperbaiki kehidupan rakyat dapat diteruskan demi manfaat seluruh lapisan masyarakat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.