Akauntabiliti yang hidup di kamus, mati di meja kuasa!

Akauntabiliti yang hidup di kamus, mati di meja kuasa!

Negara tidak perlukan pemimpin yang sempurna. Ia hanya perlukan mereka yang berani menjawab bila gagal dan jujur mengaku bila silap.

Entah mengapa tiba-tiba saya melayari kamus dalam talian untuk memeriksa ejaan perkataan akauntabiliti dalam satu tugasan. Beberapa minggu kebelakangan ini kita dikejutkan lagi dengan berita yang mengguris kepercayaan rakyat — dari isu salah laku dalam institusi pendidikan, kegagalan integriti dalam agensi kerajaan, sehingga kepada pendedahan tentang dana awam didakwa disalah urus. Namun, apa lebih menyedihkan bukan skandal itu sendiri, tetapi ketiadaan pertanggungjawaban yang menyusul. Tiada siapa tampil menjelaskan. Tiada siapa tampil mengaku. Tiada siapa yang berundur secara terhormat.

Akauntabiliti bukan semata-mata laporan tahunan atau kenyataan media. Ia adalah keberanian untuk menjawab kepada amanah dan bertanggungjawab atas kegagalan. Dalam sistem yang matang, apabila berlaku kecuaian atau kerosakan, mereka yang berada di posisi kuasa akan tampil — bukan untuk menyalahkan orang lain, tetapi untuk menggalas kesilapan yang berlaku bawah jagaan mereka.

Tetapi di negara kita, budaya melepaskan diri lebih dominan. Kes disenyapkan, pegawai ditukar ke tempat lain, kenyataan dibungkus rapi, dan semuanya kembali seperti biasa. Sementara itu, rakyat terus memikul beban dan kepercayaan terus menghakis.

Apa itu akauntabiliti?

Dalam konteks pengurusan dan kepimpinan, akauntabiliti ialah keupayaan — dan keberanian — untuk bertanggungjawab terhadap tindakan, keputusan, atau kegagalan. Ia bukan hanya soal mematuhi prosedur, tetapi kejujuran untuk menjawab kepada rakyat, menjelaskan mengapa sesuatu berlaku, dan bersedia menanggung akibatnya.

Di Malaysia, istilah ini mula meniti di bibir rakyat apabila Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra dikenali Pak Lah, menyampaikan ucapan sulungnya sebagai perdana menteri pada 31 Okt 2003. Dalam ucapan itu, beliau menggariskan visinya untuk membina ‘sebuah negara berintegriti’, dan menegaskan komitmen terhadap tadbir urus baik, pemupukan integriti, dan pembanterasan rasuah.

Pak Lah juga mengangkat tema akauntabiliti dan ketelusan sebagai teras pentadbirannya seiring usaha membangunkan modal insan, merancakkan pertumbuhan ekonomi, dan memperkukuh perpaduan nasional. Beliau menjanjikan kesinambungan dasar yang baik daripada era Dr Mahathir Mohamad, tetapi dengan pendekatan baharu lebih terbuka, bersih dan inklusif — selaras cabaran era globalisasi.

Waktu itu, rakyat menyambut era baharu dengan penuh harapan. ‘Bersih, cekap, amanah’ bukan lagi slogan semata, tetapi diimpikan sebagai budaya sebenar pentadbiran negara. Namun, idealisme itu tidak mudah dipertahankan. Reformasi struktur yang diimpikan tidak berlaku secara menyeluruh. Dan cita-cita membudayakan akauntabiliti akhirnya perlahan-lahan tenggelam dalam kebiasaan lama.

Akauntabiliti dan ‘setsumei sekinin’

Menariknya, di Jepun, konsep ini diterjemahkan sebagai ‘setsumei sekinin’ iaitu ‘tanggungjawab untuk memberi penjelasan’. Istilah ini menekankan keperluan untuk tampil dan memberi penerangan jelas kepada umum, terutama apabila melibatkan isu pentadbiran dan keputusan organisasi. Dalam budaya mereka, menjelaskan tindakan adalah satu kewajiban moral dan sosial, bukan semata-mata formaliti.

Contohnya, pada 2017 Menteri Pertahanan Jepun, Tomomi Inada, meletakkan jawatan selepas laporan menyatakan kementerian menyembunyikan maklumat tentang risiko terhadap tentera Jepun di Sudan Selatan — meskipun beliau tidak terlibat secara langsung. Bagi masyarakat Jepun, menanggung tanggungjawab moral itu lebih utama daripada sekadar mencari alasan teknikal.

Di negara Barat pula, prinsip akauntabiliti juga jelas dilaksana. Di United Kingdom, Setiausaha Kesihatan Matt Hancock meletakkan jawatan pada 2020 selepas melanggar SOP Covid-19 — bukan kerana kes rasuah, tetapi kerana hilangnya integriti awam. Di Jerman, Menteri Pendidikan Annette Schavan berundur selepas siasatan mendapati beliau melakukan plagiat dalam tesis kedoktorannya. Plagiat akademik lama pun dianggap cukup serius untuk memusnahkan kepercayaan terhadap kementeriannya.

Semua ini menunjukkan akauntabiliti tidak bergantung pada undang-undang semata, tetapi juga rasa malu, maruah dan integriti peribadi — sesuatu yang semakin hilang dalam budaya kita.

Kegagalan akauntabiliti di Malaysia

Di Malaysia, krisis akauntabiliti berlaku bukan sekali dua — tetapi berulang. Dalam dunia politik, kita telah saksikan pemimpin yang disabitkan di mahkamah masih mampu mempengaruhi wacana awam, malah dijulang dalam acara politik. Ada juga yang kembali menduduki jawatan strategik tanpa pernah menjelaskan atau meminta maaf kepada rakyat.

Dalam sektor pendidikan, antara isu sering timbul ialah kegagalan sistem untuk tampil menjelaskan apabila berlaku kecuaian, kelemahan pengurusan, atau insiden yang mencetuskan keresahan awam. Contohnya, apabila berlaku kejadian melibatkan keselamatan pelajar, kekurangan kemudahan asas, atau ketirisan dana di peringkat sekolah atau universiti, kita jarang mendengar laporan siasatan terbuka atau penjelasan yang memuaskan daripada pihak berkaitan.

Kadangkala, siasatan dalaman dijalankan tetapi hasilnya tidak diumumkan secara telus. Dalam beberapa kes, pegawai ditukar tempat tanpa penjelasan, atau isu dilupakan begitu sahaja. Hal ini menimbulkan persoalan dalam kalangan ibu bapa, pelajar, dan masyarakat: siapa yang bertanggungjawab apabila yang silap bukan pelajar, tetapi sistem?

Di peringkat pentadbiran awam, Laporan Ketua Audit Negara saban tahun mendedahkan ketirisan — pembelian peralatan yang tidak sampai, pembinaan dewan terbengkalai, peralatan pertanian yang dibayar tapi tidak diterima. Namun, siapa yang tampil menjawab? Siapa yang meletakkan jawatan?

Sektor korporat dan GLC pula, tidak kurang hebatnya. Projek mega menelan ratusan juta — akhirnya dibatalkan, disemak semula, atau didiamkan. Rakyat tidak diberi penjelasan jelas ke mana perginya dana. Panel penasihat senyap, dan mereka yang terlibat sekadar ‘ditukarkan’ ke posisi lain, bukan dipertanggungjawabkan secara tuntas.

Apa kesan kepada rakyat dan negara?

Apabila budaya akauntabiliti diganti dengan budaya ‘lepas tangan’, rakyat yang paling rugi. Kepercayaan terhadap institusi awam mula luntur. Ramai yang tidak lagi yakin pada siasatan dalaman, tidak percaya kepada kenyataan rasmi, dan akhirnya memilih untuk membisu — kerana merasakan suara mereka tidak akan diambil peduli.

Lebih parah, masyarakat mula belajar satu perkara yang salah: bahawa kegagalan tidak perlu dijawab, cukup sekadar selamatkan diri sendiri. Maka lahirlah generasi baharu yang terbiasa menyalahkan orang lain, tidak sanggup mengaku silap, dan membina sistem yang melindungi ketua walau pincang dasar.

Dari sudut ekonomi dan pentadbiran, ketirisan yang tidak ditegur akan berulang. Projek pembangunan menjadi sia-sia. Dana negara bocor. Pelabur kehilangan keyakinan. Dan rakyat — terus menanggung harga kesilapan yang tidak pernah dijelaskan.

Kita tidak akan maju dengan sistem yang membiarkan pengkhianat amanah bersembunyi di balik birokrasi dan kekebalan jawatan. Akauntabiliti bukan sekadar untuk ‘orang bawahan’, tetapi lebih-lebih lagi untuk mereka yang berada di atas — yang telah diberi mandat, kuasa, dan kepercayaan.

Menuju budaya bertanggungjawab

Akauntabiliti perlu dibina semula — bukan sekadar melalui pindaan dasar tetapi melalui peneguhan budaya. Kita perlukan:

  • Kepimpinan yang berani meletakkan jawatan apabila gagal menunaikan amanah;
  • Institusi pengawasan bebas dan tegas yang tidak gentar terhadap tekanan politik;
  • Pendidikan sivik dan nilai agar generasi baharu tidak mewarisi budaya menuding jari;
  • Media bebas dan bertanggungjawab yang mampu memegang kuasa untuk menjawab kepada rakyat.

Dalam sistem yang sihat, kesilapan bukan aib — tetapi mengelak daripada menjawab kesilapan itulah yang menghancurkan nilai kepercayaan.

Akauntabiliti cermin hati

Akhirnya, akauntabiliti bukan hanya soal prosedur. Ia adalah soal maruah, soal hati, soal sedar bahawa setiap kuasa datang bersama amanah. Dalam al-Quran, Allah mengingatkan setiap jiwa akan ditanya tentang apa yang telah diusahakan. Maka, jika kita benar-benar percaya pada tanggungjawab itu — dunia dan akhirat — mengapa masih ramai yang diam saat mereka patut bersuara?

Negara ini tidak perlukan pemimpin yang sempurna. Ia hanya perlukan mereka yang berani menjawab bila gagal dan jujur mengaku bila silap.

 

Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.