Adakah Wan Ahmad Farid dilantik dengan niat reformis?

Adakah Wan Ahmad Farid dilantik dengan niat reformis?

Ketua hakim negara yang baharu diharapkan cetus transformasi seperti Zaki Azmi and Yong Pung How.

Wan Ahmad Farid Zaki Azmi Yong Pung How

Tidak dapat dinafikan pelantikan Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai ketua hakim negara yang baharu menimbulkan pelbagai persoalan.

Sejak beberapa hari lalu, ketika khabar angin mengenai pelantikannya bertiup kencang, nama beliau dikatakan muncul secara tiba-tiba, lebih-lebih lagi kerana beliau bukan salah seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat.

Hakikatnya, Wan Ahmad Farid merupakan salah seorang hakim Mahkamah Rayuan yang lebih junior. Dari segi kekananan, beliau berada pada kedudukan ke-26 daripada 29 hakim di Mahkamah Rayuan.

Beliau telah berkhidmat sebagai hakim selama hampir 10 tahun. Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2015 dan hakim Mahkamah Tinggi pada 2019, sebelum dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 12 November tahun lepas.

Sememangnya, kenaikan pangkat beliau sangat pantas, mencadangkan bahawa perdana menteri dan Majlis Raja-Raja yakin beliau tokoh yang tepat untuk menerajui badan kehakiman pada saat yang genting ini.

Tetapi dari sudut mana? Adakah pelantikan ini dibuat dengan niat reformis?

Satu perkara yang jelas adalah khabar angin bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan nama bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Salleh untuk jawatan itu ternyata tidak tepat.

Begitu juga, tiada siapa boleh mendakwa pelantikan Wan Ahmad Farid ialah pelantikan politik oleh Anwar. Lagipun Wan Ahmad Farid adalah bekas ahli Umno.

Ini sewajarnya menoktahkan segala tuduhan bahawa perdana menteri mencampuri urusan badan kehakiman.

Perjalanan kerjaya Wan Ahmad Farid agak luar biasa: setiausaha politik kepada perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi (2003-2008); senator (2005-2009); dan timbalan menteri dalam negeri (2008-2009).

Pada 2009, beliau bertanding pada PRK Parlimen Kuala Terengganu, tetapi tewas kepada calon PAS.

Selepas itu, beliau kembali ke amalan guaman sebelum dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman.

Para peguam lazimnya mengutamakan tempoh perkhidmatan yang lama dan kekananan apabila memilih calon untuk jawatan tertinggi. Namun, Wan Ahmad Farid tidak memenuhi kedua-dua kriteria ini. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang sumbangan yang boleh beliau tawarkan..

Sesetengah pihak bimbang latar belakang politiknya akan menyebabkan beliau cenderung kepada cabang eksekutif. Bagaimanapun, beliau wajar dipuji kerana pernah menarik diri daripada mengadili kes-kes berprofil tinggi melibatkan Anwar dan Najib Razak, dengan menegaskan kepentingan persepsi masyarakat dan integriti badan kehakiman

Beliau diharapkan dapat membawa transformasi, sama seperti yang pernah dilakukan oleh Zaki Azmi dan Yong Pung How.

Pelantikan Zaki sebagai ‘lord president’ (istilah ketua hakim negara sebelum ini) turut dipertikaikan, malah mungkin lebih hebat lagi.

Sebagai seorang peguam, beliau dilantik terus ke Mahkamah Persekutuan pada September 2007, dijadikan presiden Mahkamah Rayuan menjelang Disember dan mengambil alih jawatan sebagai ‘lord president’ pada Oktober 2008.

Pada masa itu, pelantikan beliau dikritik hebat, memandangkan hubungannya yang rapat dengan Umno.

Namun, tempoh perkhidmatan Zaki disifatkan oleh pembaharuan yang agresif. Beliau menangani tunggakan kes, memantau hasil kerja kehakiman, memperkenalkan sistem pemfailan elektronik, melicinkan prosedur mahkamah dan melaksanakan latihan kehakiman secara berkala.

Beliau juga merupakan salah seorang penggerak utama Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), yang ditubuhkan pada 2009, bertujuan membebaskan proses pemilihan kehakiman daripada pengaruh politik..

Adakah Wan Ahmad Farid pilihan JAC? Maklumat tersebut tidak didedahkan kepada umum.

Pelantikan Yong sebagai ketua hakim Singapura juga sama luar biasanya.

Yong adalah rakan kongsi di Shook Lin & Bok sehingga 1970, sebelum meninggalkan profesion guaman untuk menyertai sektor perbankan. Beliau kemudian menjadi pengarah urusan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).

Dipilih secara peribadi oleh perdana menteri Singapura ketika itu, Lee Kuan Yew, Yong kembali ke badan kehakiman pada 1989 dan dilantik sebagai ketua hakim negara pada tahun berikutnya.

Yong menerajui pelbagai pembaharuan dalam sistem kehakiman yang pada masa itu kurang cekap. Beliau memodenkan sistem undang-undang Singapura dengan pengenalan sistem pemfailan elektronik, serta mempercepat pelupusan kes dengan mereformasi proses pada setiap peringkat.

Wan Ahmad Farid akan berkhidmat sebagai ketua hakim negara sehingga November 2028, apabila beliau mencecah 66 tahun, usia persaraan wajib bagi hakim.

Ini bermakna beliau akan berkhidmat bagi tempoh hanya sedikit melebihi tiga tahun. Impak yang akan beliau tinggalkan masih belum dapat dipastikan.

 

Ibrahim M Ahmad ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.