Pendekatan berhemah Asean tangani konflik Laut China Selatan

Pendekatan berhemah Asean tangani konflik Laut China Selatan

Keperluan mengimbangi kedaulatan dan kestabilan serantau dengan Malaysia sebagai pengerusi Asean.

Laut Malaysia instead of South China Sea

Pertikaian berterusan melibatkan tuntutan bertindih terhadap wilayah dan kedaulatan di Laut China Selatan sering mencetuskan ketegangan diplomatik serta insiden pertembungan di laut.

Tindakan dan aktiviti provokatif oleh negara-negara yang membuat tuntutan, dalam usaha memperkukuh serta mempertahankan kawasan masing-masing, semakin ketara sejak tiga dekad lalu.

Pelbagai strategi telah digerakkan, termasuk pembinaan infrastruktur ketenteraan dan penghalangan aktiviti ekonomi oleh pihak yang bertentangan.

Jika tidak ditangani secara bijaksana dan berhemah, situasi ini boleh mencetuskan salah faham yang berisiko menjerumuskan pihak terlibat ke dalam konflik bersenjata, sekali gus mengancam keselamatan dan kestabilan serantau.

Laut China Selatan bukan sekadar medan pertikaian sempadan dan kedaulatan maritim. Ia juga menjadi laluan perdagangan dan sumber ekonomi yang amat strategik. Dianggarkan lebih satu pertiga perdagangan maritim global melalui perairan ini setiap tahun, menjadikannya nadi penting kepada rangkaian logistik dan ekonomi dunia.

Selain itu, perairan ini mengandungi rizab hidrokarbon yang besar seperti minyak dan gas asli, menjadikannya signifikan dalam menjamin penjanaan ekonomi dan keselamatan tenaga bagi negara-negara di Asia Tenggara, khususnya Malaysia, Vietnam dan Brunei.

Apa yang menjadikan pertikaian ini rumit dan kompleks ialah penglibatan pelbagai negara berkepentingan — termasuk China, Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan — yang masing-masing mempunyai perbezaan dari segi kepentingan nasional dan strategi geopolitik.

Di sebalik kemelut ini, Asean kekal konsisten dengan pendekatan berhati-hati yang berteraskan rundingan dan musyawarah. Pendekatan ini mencerminkan prinsip Asean Way yang menjadi tunjang kepada identiti dan amalan Asean sejak penubuhannya pada 8 Ogos 1967.

Prinsip ini menekankan konsensus, tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara anggota, serta penyelesaian secara damai melalui saluran diplomatik. Sejajar dengan prinsip itu, Asean menolak sebarang bentuk konfrontasi terbuka dan terus menjadikan dialog serta diplomasi sebagai kaedah utama dalam menangani pertikaian serantau.

Pendekatan ini bukanlah satu kelemahan, sebaliknya mencerminkan realiti politik dan keperluan strategik setiap negara anggota. Negara seperti Filipina dan Vietnam lebih tegas serta vokal dalam menentang tindakan China, manakala Malaysia dan Brunei pula lebih berhati-hati dan cenderung menggunakan diplomasi tertutup.

Hubungan perdagangan yang kukuh dengan China turut menjadi faktor utama di sebalik pendekatan ini, memandangkan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Asean sejak lebih sedekad lalu.

Tambahan pula, struktur konsensus dalam Asean mengehadkan keupayaan untuk mengambil pendirian tegas secara kolektif. Situasi ini kerap berlaku apabila terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan negara anggota, khususnya dalam isu Laut China Selatan yang melibatkan tindakan agresif oleh China.

Konflik ini menjadi lebih kompleks apabila kuasa luar — terutama Amerika Syarikat serta sekutunya seperti Jepun dan Australia — turut campur tangan dalam dinamika serantau. Negara-negara ini menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan antara pihak-pihak yang bertelingkah, terutamanya kerana perairan tersebut merupakan laluan strategik utama bagi ketenteraan dan perdagangan global.

Sekiranya konflik geopolitik terus meruncing, sebarang ketidakstabilan atau gangguan terhadap kebebasan pelayaran berpotensi menjejaskan keselamatan maritim serta menggugat kestabilan ekonomi antarabangsa.

Selain itu, operasi Freedom of Navigation (FONOP) oleh Tentera Laut Amerika Syarikat dan pembentukan kerjasama pertahanan seperti QUAD dan AUKUS menambah satu lagi dimensi geopolitik yang perlu ditangani Asean dengan penuh ketelitian dan kebijaksanaan diplomatik.

Tindakan provokatif yang disebutkan berpotensi mencetuskan salah faham dan menjerumuskan rantau ini ke dalam konflik bersenjata. Ketiadaan mekanisme penyelesaian yang benar-benar mengikat dari sudut undang-undang hanya meningkatkan risiko terhadap kestabilan serantau.

Walaupun Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) 2002 pernah dianggap sebagai langkah awal yang penting, kegagalannya untuk mengikat tingkah laku pihak-pihak bertelingkah menunjukkan keperluan mendesak untuk menggubal Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan yang bersifat mengikat dan sah di sisi undang-undang.

Asean dan China telah memulakan rundingan bagi merangka CoC sejak sekian lama. Malaysia, selaku Pengerusi Asean 2025, kini memegang peranan penting dalam mempercepatkan proses ini dan mencapai persetujuan bersama.

Perbezaan ketara dasar antara Asean dan China — di mana China cenderung kepada pendekatan tidak mengikat, manakala negara-negara Asean seperti Filipina dan Vietnam mendesak agar CoC bersifat mengikat — menuntut kecekapan diplomasi serta kebijaksanaan strategi daripada Malaysia.

Meskipun CoC bukanlah penyelesaian muktamad terhadap tuntutan wilayah, ia mampu menetapkan garis panduan tingkah laku, mengurangkan risiko konflik, serta membuka ruang kepada kerjasama dalam pengurusan sumber marin dan komunikasi krisis. Oleh itu, Malaysia perlu memainkan peranan aktif, berlandaskan hubungan baik dengan China, bagi memujuk penyertaan konstruktif dalam memuktamadkan draf CoC Laut China Selatan.

Malaysia, dalam kapasiti sebagai Pengerusi Asean, berada dalam kedudukan terbaik untuk bertindak sebagai pemudah cara yang diyakini dan pragmatik dalam menangani sensitiviti serantau. Keupayaan Malaysia untuk merapatkan jurang antara negara-negara Asean dan China bakal menjadi penanda aras sejauh mana Asean mampu menangani isu keselamatan maritim secara berkesan.

Dalam suasana geopolitik yang mencabar ini, Asean perlu terus berpaut kepada prinsip diplomasi damai. Rundingan diplomatik bukanlah jalan yang mudah, namun ia merupakan satu-satunya pendekatan yang dapat diterima oleh semua negara anggota.

Pelaksanaan CoC yang sah dan mengikat akan menjadi satu pencapaian besar buat rantau ini, sekali gus mengukuhkan peranan Asean dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

Tatkala kapal-kapal perang dan pasukan pengawal pantai terus meronda di perairan yang dipertikaikan, memilih mekanisme rundingan dan diplomasi berbanding tindakan ketenteraan bukanlah tanda kelemahan.

Sebaliknya, ia mencerminkan kebijaksanaan kolektif Asean dalam mengurus konflik serantau. Penerimaan dan pelaksanaan CoC bukan sahaja mencerminkan komitmen bersama terhadap keamanan dan kestabilan, tetapi juga membawa harapan besar ke arah kestabilan jangka panjang di Laut China Selatan.

 

Mohammad Zaki Ahmad ialah Pengarah Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.